Pernah dilabel 'top player', 4 bintang sensasi HM tunggu masa untuk 'meletop' di Liga M3


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Skuad negara ketika menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010. — Awani

SKUAD Harimau Malaya ketika ini dibarisi beberapa pemain muda yang berpotensi menyinar dan melebarkan sayap lebih jauh di pentas antarabangsa.

Arif Aiman, Ramadhan Saifullah, Haqimi Azim dan Stuart Wilkin antara nama yang hangat diperkatakan peminat dengan persembahan dipamerkan bersama skuad kebangsaan dan kelab diwakili membuktikan mereka antara aset pasukan negara untuk jangka masa panjang.

Namun, jangan pernah kita lupa bahawa generasi pemain terdahulu merupakan antara penyumbang kepada kelahiran bakat muda pada hari ini yang dilihat menyerupai beberapa kelibat bekas tonggak pasukan negara satu ketika dahulu.

Beraksi di Liga M3, pemain-pemain ini satu ketika dahulu pernah dilabel sebagai 'top player' dalam skuad kebangsaan dan sering kali mencatatkan nama selaku penjaring gol dalam mana-mana perlawanan yang disertai.

Tidak dinafikan bahawa era kegemilangan mereka mungkin sudah di ambang waktu namun, kelibat mereka sentiasa mencuri tumpuan peminat yang mahukan pemain-pemain ini kembali menyinar seperti dahulu kala.

Berikut merupakan beberapa nama yang dikatakan mampu kembali 'meletop' di liga M3 sekiranya diberikan lebih minit permainan dan pendedahan.

tahana

N. Thanabalan

Bekas penyerang skuad bawah 22 tahun negara, N. Thanabalan sebelum ini pernah menggegar peminat sukan bola sepak tanah air apabila menjadi wira Malaysia ketika membenam cabaran pasukan Indonesia di peringkat separuh akhir dalam Sukan SEA 2017.

Mempunyai tindakan penyudah yang baik dan tandukan padu di hadapan pintu gol, Thanabalan sentiasa bijak menghidu peluang untuk menyambut hantaran lintang rakan sepasukannya.

Turut membantu Sabah FC melayakkan diri ke saingan Piala AFC tahun ini, namun pemain berusia 28 tahun itu mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan di liga M3 bersama Harini FT.

Enggan mengambil kira pendapat ramai, pemain itu difahamkan mahu fokus untuk merebut peluang beraksi di atas padang dengan keputusannya untuk bersama kelab tersbut diyakini mampu mengembalikan prestasi sebenarnya seperti dahulu.

matyo

Norshahrul Idlan Talaha

Bekas penyerang veteran skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha kini masih meneruskan karier bola sepaknya bersama Harini FT bagi musim 2023.

Terkenal dengan kelicikan dan skil kawalan bola yang tinggi, pemain yang lebih mesra disapa Matyo itu sebelum ini beraksi bersama Melaka United dalam 12 perlawanan dan berjaya mencatatkan satu bantuan jaringan dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC.

Pernah mendominasi kategori Pemain Paling Bernilai (MVP) pada saingan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) sebanyak tiga kali berturut-turut bermula tahun 2010 sehingga 2012, Matyo turut berjaya memberi impak yang besar ketika beraksi bersama beberapa kelab ternama seperti Kelantan FA, Johor Darul Ta’zim dan ATM satu ketika dulu.

Kemuncak prestasi pemain kelahiran Besut, Terengganu itu adalah ketika membantu skuad negara merangkul pingat emas Sukan SEA 2009 serta menjuarai saingan Piala AFF 2010 di bawah kendalian Datuk K. Rajagopal ketika itu.

paula

Guilherme De Paula

Pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula kini bakal beraksi bersama Melaka United FC dalam saingan Liga M3 secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Meskipun prestasinya sering dilempari kritikan dan tohmahan peminat, kelebihan fizikal dan penyudah tajam yang dimiliki sering menjadi punca mengapa namanya kerap disenaraikan dalam skuad kebangsaan sebelum ini.

Namanya mula meniti di bibir peminat selepas mempamerkan aksi memberansangkan bersama pasukan Kuala Lumpur FC sekitar 2017 bila mana beliau mampu menghasilkan enam gol dalam satu perlawanan ketika bertemu pasukan ATM.

Bertitik tolak daripada itu, pemain berketinggian 1.89 meter itu kemudiannya menyarung jersi Perak FC sebelum berhijrah ke Harimau Selatan pada 2021.

fakri

Ahmad Fakri Saarani

Pasukan berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak iaitu Budak Rumah Murah FC (BRM FC) menjadi destinasi seorang lagi bekas permata negara, Ahmad Fakri Saarani.

Pernah dilabel antara prospek skuad bola sepak kebangsaan serta turut diberi peluang beraksi bersama kelab divisyen dua Portugal iaitu Atletico S.C, namun kepulangannya dari bumi Portugal menyaksikan prestasi pemain kelahiran Kelantan itu semakin merudum dan kurang diberikan perhatian.

Pada 2020, Fakri menyertai kelab Liga M3 Perlis iaitu Northern Lions FC namun penularan wabak Covid-19 mengakibatkan dia gagal mendapat peluang beraksi bersama pasukan tersebut.

Namun pada tahun lalu, pemain itu mewakili Kelana United FC dalam Liga Selangor dan berjaya tampil dengan empat penampilan dengan dua jaringan gol berjaya dihasilkannya.

Justeru, kehadiran bekas tonggak utama skuad kebangsaan di atas diyakini mampu menyumbang sesuatu pada kelab yang diwakili dengan kesemuanya mempunyai rekod baik di zaman kegemilangan mereka sebelum ini.

Mungkin ada berpendapat bahawa faktor usia menjadi penghalang untuk mereka kembali menyinar seperti dahulu kala namun, melihatkan seorang lagi pemain veteran dan juga legenda skuad kebangsaan, Amri Yahya yang masih mampu berdaya saing di peringkat tertinggi bersama Sabah FC membuktikan usia bukan penghalang terbesar.

Apa yang penting, keazaman, sokongan padu peminat dan pengurusan pasukan perlu sentiasa memberikan kepercayaan tidak kira apa situasi yang dihadapi pemain-pemain ini dengan ia diyakini mampu mengembalikan prestasi 'emas' mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram