Selain Manuel Ott, ada 4 lagi pesona import jadi pilihan pakai lilitan kapten


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Ott berperanan sebagai kapten pasukan KDA FC di bawah bimbingan Nafuzi musim ini. — Facebook/ KDA FC

LIGA Super musim ini yang sudah membuka tirai menerusi aksi sulung pada Sabtu lalu memperlihatkan 14 pasukan yang bertanding menurunkan pemain-pemain terbaik untuk meraih mata awal dalam usaha memburu kejuaraan.

Bukan setakat di tangan jurulatih tetapi kapten pasukan memainkan peranan penting bagi memastikan keharmonian dan kesefahaman yang dibentuk antara pemain dapat diterjemah atas padang.

Lihat sahaja lantikan kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang memperkenalkan pemain import, Manuel Ott sebagai nakhoda skuad Sang Kenari di bawah bimbingan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Tentunya ada sebab mengapa jeneral tengah berusia 30 tahun ini mendapat kepercayaan Nafuzi untuk mengetuai skuad Hijau Kuning musim ini.

333428041_1181084719438670_7641499693069446068_n

Ott mendapat kepercayaan Nafuzi untuk mengetuai skuad Hijau Kuning musim ini. — Facebook/ KDA FC

Selain pengalaman Ott di pentas antarabangsa, pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina itu dirasakan mampu memahami kehendak dan falsafah yang mahu diterapkan Nafuzi di KDA FC.

Ott tentunya 'masak' dengan kemahuan Nafuzi memandangkan dia bersama bekas pengendali Terengganu FC itu di skuad Sang Penyu musim lalu.

Jadi tidak timbul isu mengapa pemain import yang diberikan tanggungjawab menggalas tugas sebagai kapten pasukan meskipun ada lambakan pemain tempatan yang dirasakan boleh mengisi tempat berkenaan.

Selain Ott, berikut empat pemain import yang dilantik menjadi kapten pasukan masing-masing bagi musim ini.

333223020_1671386616652505_1684023716771488052_n

Jordi menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah ketika membantu JDT menewaskan Terengganu FC dalam aksi Sumbangsih pada 24 Februari lalu. — Facebook/ Johor Southern Tigers

1) Jordi Amat (JDT)

Bagi musim ini, Johor Darul Takzim (JDT) di bawah kendalian Estaban Solari memberikan kepercayaan kepada Jordi untuk berperanan sebagai kapten pasukan yang sebelum ini menjadi tugas penjaga gawang, Mohd Farizal Marlias.

Seperti Ott, Jordi yang juga tonggak naturalisasi Indonesia memiliki pengalaman cukup luas di pentas antarabangsa menerusi penampilannya bersama skuad Garuda.

Malah siapa tidak tahu, pertahanan kental JDT itu juga pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris dan Liga Sepanyol serta berpengalaman merantai pergerakan beberapa penyerang berkelas dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

333488494_916318359688488_4354570296492247441_n

Tae-su cukup disenangi dalam kalangan penyokong Sabah. — Facebook/ Sabah FC

2) Park Tae-su (Sabah)

Jika musim lalu, Baddrol Bakhtiar berperanan sebagai kapten Sabah FC, musim ini lilitan kapten diberikan kepada pemain dari Korea Selatan, Park Tae-su.

Pemain itu tampil dalam kesebelasan utama Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee manakala Baddrol memulakan kempen Liga Super di bangku simpanan.

Seperti Baddrol, Tae-su juga merupakan pemain yang memiliki aura seorang pemimpin di dalam dan di luar padang. Pemain berusia 33 tahun itu cukup disenangi dalam kalangan penyokong Sabah FC.

Fasih berbahasa Melayu, Tae-su yang menyertai Sabah FC sejak 2019 memiliki semangat 'radu tatap radu' kerana bernafsu menjaringkan gol demi pasukan meskipun bermain di posisi tengah bertahan.

Sepanjang musim lepas, Tae-su mencetak lapan gol dan dua bantuan gol menerusi 25 penampilan di Liga M.

332869956_492319406246930_5527251451283037039_n

Rafael (belakang, kanan) berkhidmat selama empat musim di Penang FC. — Facebook/ Penang FC

3) Rafael Vitor (Penang FC)

Pemain import dari Brazil itu bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong Penang FC. Rafael berkhidmat dengan pasukan Harimau Kumbang sejak menyertainya pada 2020.

Mendapat jolokan 'Captain Vitor', pemain tinggi lampai berusia 31 tahun itu tentunya mendapat kepercayaan memakai lilitan kapten memandangkan sudah beberapa musim bersama pengendali Penang FC, Manzoor Azwira.

333058596_174366305325324_4904630569967605921_n

Mario memakai lilitan kapten di skuad TRW. — Facebook/ TRW Kelantan FC

4) Mario Arques (TRW)

Mario kembali ke Kelantan FC selepas empat bulan berkelana di Liga 1 Vietnam bersama kelab Song Lam Nghe An FC (SLNA).

Arkitek kelahiran Sepanyol itu pernah bersama skuad The Red Warriors (TRW) pada musim 2021.

Kepulangan semula Mario ke pangkuan pasukan pastinya memberikan nilai tambah buat skuad musim ini dan impaknya juga sudah terserlah sepanjang aksi persahabatan.

Jadi tidak hairanlah, pemain berusia 31 tahun itu mendapat kepercayaan jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik untuk menggalas tugas sebagai kapten pasukan.