SELEPAS aksi pembukaan Liga Super yang agak hambar bagi pasukan Perak FC ketika pertemuan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Sabtu lalu, skuad Seladang mempamerkan aksi yang lebih baik ketika berdepan PDRM FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Meskipun memberikan persembahan menarik, namun skuad Seladang dirasakan mensiakan-siakan peluang untuk mengumpul tiga mata berharga dalam perlawanan menentang PDRM FC yang baru 'naik' pangkat ke Liga Super musim ini.
Ini selepas pasukan Perak FC kendalian Datuk Lim Teong Kim terikat tanpa jaringan dengan skuad Sang Saka Biru.
Sepanjang 90 minit perlawanan, Perak FC dan PDRM FC gagal memecahkan kebuntuan mencari gol malah tambahan masa empat minit yang diberikan sebelum wisel penamat, menyaksikan mereka tidak berjaya menjelmakan sebarang jaringan.
Teong Kim kecewa dengan keputusan seri 0-0 yang dicatatkan Perak FC dalam perlawanan menentang PDRM FC.
Mengulas aksi tersebut, Teong Kim yang jelas kecewa dengan keputusan tersebut berkata, pemain-pemainnya banyak mensia-siakan peluang yang tersedia di depan pintu gol.
"Peluang semua sudah ada di sana (depan pintu gol), sepatutnya terpulang kepada individu untuk jaringkan gol.
"Saya kecewa dengan keputusan sahajalah, selain daripada itu pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik," katanya selepas perlawanan yang bersiaran secara langsung di Astro Arena.
Ketika ditanya wartawan apakah yang boleh ditambah baik buat skuad Perak FC, Teong Kim dalam nada bersahaja berkata, "Kita mesti panggil bomoh dari Indonesia."
Dalam perlawanan itu, antara pemain yang menyerlah pada aksi itu termasuklah penyerang muda, Hadi Fayyadh yang melakukan beberapa percubaan berbahaya untuk menggegarkan gawang lawan.
Namun serangan Hadi Fayyadh hanya terkena palang gol yang menyaksikan skuad Seladang dipaksa untuk bekerja lebih keras bagi menghasilkan jaringan.
Import dari Korea Selatan, Seo Seonung yang dimasukkan dalam kesebelasan utama Perak FC juga gagal menterjemahkan gol walaupun melakukan beberapa rembatan ke arah pintu gawang.
"Pemain Korea ni bagus dan rajin tapi sokongan tak cukup... harap ada yang boleh support dia untuk game akan datang," kata seorang penyokong, Syukri Rix.
Penyokong berasakan pemain-pemain muda Perak FC juga perlu memperbaiki kepantasan membuat keputusan ketika memegang bola kerana mereka dilihat masih teragak-agak.
"Kadang teragak-agak nak challenge bola ke tak, passing ke tak," tambah seorang lagi penyokong.
Perak selepas ini bakal bertandang ke Kota Bharu, Kelantan untuk perlawanan menentang Kelantan United FC yang berlangsung pada 4 Mac ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram