Yee Fatt harap pemain baharu dapat bakar semangat Penang FC


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

Yee Fatt dan Penang FC masih mencari kemenangan pertama mereka dalam Liga Super musim ini. — Facebook/Penang FC

PENGENDALI Penang FC, Chong Yee Fatt berharap pemain baharu yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan bagi meningkatkan lagi prestasi pasukan dapat menaikkan lagi semangat skuad secara keseluruhan sepanjang musim.

Katanya, pemain dilihat berusaha pada perlawanan pertama yang menyaksikan skuad Harimau Kumbang berjaya mengikat Kuala Lumpur (KL) City FC dengan keputusan seri 2-2 pada perlawanan pembukaan di di Stadium Cheras, KL Sabtu lepas.

"Membawa masuk pemain baharu juga sebahagian daripada strategi kami memandangkan jarak perlawanan pertama pada minggu lepas dengan perlawanan kedua malam tadi terlalu rapat,” katanya

Yee Fatt berkata demikian selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan FC yang menyaksikan keputusan seri 0-0 di Stadium Bandaraya, Penang pada Rabu.

Pemain sayap, Rahmat Makasuf yang dipinjam daripada Terengganu FC dilihat mempunyai beberapa peluang walaupun tidak menghasilkan sebarang gol buat pasukan.

333721894_1389528318523047_4319316180998129151_n

Permainan terpaksa dihentikan pada babak pertama selepas penjaga gol skuad Jang memerlukan rawatan segera. Facebook/Penang FC

Pada babak pertama, penjaga gol skuad Jang, Sikh Izhan Nazrel terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan akibat pertembungan dengan Rahmat yang mana menyaksikan penjaga gawang itu dikejarkan ke hospital.

Mengulas mengenai perlawanan, Yee Fatt berkata, pemain berasa tertekan untuk menambah tiga mata memandangkan ia adalah aksi pertama di laman sendiri dan anak-anak buahnya dilihat terlalu bersemangat untuk mara ke hadapan, namun semua peluang yang dicipta gagal membuahkan hasil positif.

"Kami harus menghargai pasukan lawan kerana beraksi dengan baik. Barisan pertahanan mereka kemas dan kami menghadapi masalah untuk menembusi pertahanan mereka,” katanya.

Yee Fatt dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang selepas pengendali sebelum ini, Manzoor Azwira Abd Wahid masih dalam proses mendapatkan lesen kejurulatihan Pro-A.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan perlawanan dan berjaya mengutip satu mata yang amat berharga memandangkan ia bukan perlawanan di tempat sendiri.

Walaupun seri, beliau berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya.

Keputusan berkenaan menyaksikan Penang dan Negeri Sembilan menduduki tempat ketujuh dan keenam Liga Super selepas dua perlawanan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram