[VIDEO] Tonggak import Sang Kenari cedera, mungkin terlepas aksi Kedah-TFC


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Manuel Ott (kiri) turun sebagai ketua pasukan ketika aksi sulung Liga Super antara KDA FC dan Perak FC. — Facebook

BERBAKI empat jam sebelum aksi sepak mula antara dua pasukan tumpuan iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada Rabu, terdapat perkhabaran duka yang mungkin menyaksikan skuad Sang Kenari beraksi tanpa kaptennya.

Ada cakap-cakap di laman sosial yang mengatakan skuad Sang Kenari bakal kehilangan tonggah tengah, Manuel Ott selepas pemain import itu mengalami kecederaan di kaki ketika perlawanan sulung aksi Liga Super menentang Perak FC.

Menerusi perkongsian video @karlnunis di Twitter, Manuel Ott dikatakan belum tentu dapat diturunkan bertemu Terengganu FC kerana kecederaan pada jari kakinya.

"Teruk juga kaki kapten Kedah, Manny Ott yang belum tentu dapat diturunkan bertemu Terengganu," tulisnya pada ciapan tersebut.

Dalam rakaman itu, Manuel Ott menunjukkan keadaan kakinya yang kelihatan lebam serta bengkak.

Kecederaan tersebut dialami arkitek tengah Pinoy itu selepas dia dijatuhkan oleh pertahanan skuad Seladang, Raja Imran Shah Raja Amin dalam kotak penalti.

Insiden itu menyebabkan pengadil menghadiahkan penalti kepada KDA FC yang menyaksikan Willian Lira menyempurnakan sepakan tersebut pada minit ke-65.

Ketika ditanya sama ada dia akan bermain dalam perlawanan menentang Terengganu, Manuel berkata, dia harap dapat bermain menentang bekas majikannya itu.

"Hopefully (saya harap dapat bermain. Insya-ALLAH," katanya tersenyum.

Jika Manuel Ott tidak dapat beraksi pada Rabu, mungkin tugas kapten akan digalas oleh tonggak naturalisasi, Lee Tuck.

Sebelum ini, KDA FC kehilangan Manuel Ott semasa aksi menentang Penang FC bagi pusingan akhir Kejohanan Piala Harapan 2023.

Pemain kacukan Jerman-Filipina yang mengetuai jentera tengah itu pulang ke Filipina untuk melangsungkan perkahwinan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram