BARU-BARU ini, hangat diperkatakan di media sosial mengenai isu harga tiket bagi perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Pertembungan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Cheras, KL pada Rabu itu dikatakan dengan sengaja meletakkan harga tiket kepada penyokong Harimau Selatan.
Berdasarkan tinjauan di laman sesawang tickethotline.com, pasukan pelawat dikenakan harga lebih tinggi, iaitu RM33.99 yang mana RM3.99 merupakan caj tambahan dikenakan pihak ketiga.
Bagaimanapun, penyokong tuan rumah hanya dikenakan harga serendah RM23.69 dengan caj tambahan dikenakan adalah RM2.69.
Ia menunjukkan bahawa terdapatnya perbezaan ketara antara kedua-dua kadar yang ditetapkan itu, sekali gus membangkitkan pelbagai persoalan daripad penyokong JDT.
Hal itu kerana mereka berasakan pihak pengurusan KL City sudah melanggar peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang hanya membenarkan tuan rumah mengenakan caj tambahan sebanyak 20 peratus.
Sekiranya melihat kepada harga tiket pihak penganjur, kadar maksimum yang boleh dikenakan terhadap penyokong JDT ialah RM24 tidak termasuk caj daripada laman sesawang tickethotline.com.
Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata pengikut setia juara Liga Super itu mula membangkitkan isu berkenaan dengan ada yang mendesak MFL untuk mengambil tindakan sepatutnya.
Pertembungan kedua-dua pasukan ini pastinya dinanti-nantikan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, bagi Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard, harga yang ditetapkan itu tidaklah menyalahi mana-mana peraturan ditetapkan persatuan bola sepak negara.
"Harga tiket penyokong lawan ialah RM30, beza 20 peratus dengan tiket penyokong KL City kerana tiket asal penyokong kami adalah RM25, tetapi sudah diberikan subsidi atau diskaun kepada mereka sebanyak RM5.
"Ia adalah untuk menggalakkan penyokong KL untuk hadir," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, perkara tersebut tidaklah hanya berkuat kuasa ketika pertemuan bersama JDT kerana penyokong Penang FC juga perlu membayar harga sama pada perlawanan sebelum ini.
"Ya, seperti mana yang sudah ketika lakukan sebelum ini ketika aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan menentang Perak awal Februari lalu dengan tiket RM1.
"Kedua, kita juga memberi diskaun kepada penyokong KL City ketika menentang Penang FC tempoh hari, iaitu ketika perlawanan pertama Liga Super," katanya.
Skuad Warga Kota sedang menduduki tangga keenam liga selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika bertemu skuad Harimau Kumbang 25 Sabtu lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram