Game Kedah-TFC, Kelantan-Penang antara 4 aksi tayangan skrin besar sepanjang Mac


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Empat aksi menarik Liga Super sepanjang Mac akan ditayangkan di skrin besar beberapa venue terpilih seperti mana ketika saingan Piala AFF yang menarik kira-kira 150,000 penonton. — Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meneruskan usaha memeriahkan saingan Liga Super 2023 dengan bekerjasama mengadakan tayangan skrin besar melibatkan empat perlawanan bulan ini.

Empat perlawanan itu membabitkan pertembungan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC yang akan ditayangkan di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu pada Rabu diikuti Kelantan FC bertemu Penang FC pada 5 Mac ini pula ditayangkan di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban, Pulau Pinang.

Dua lagi perlawanan iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC menentang Negeri Sembilan FC pada 11 Mac ditayangkan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban, Negeri Sembilan manakala aksi Kelantan United dan KDA pada 13 Mac di Dataran Starwalk, Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ini adalah satu daripada program KBS dalam menyemarakkan lagi perlawanan bola sepak dan memupuk semangat kesukanan serta perpaduan komuniti setempat.

"Keempat-empat tayangan skrin besar ini diteruskan apabila program ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat setempat semasa perlawanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dan Piala Dunia Hoki 2023 baru-baru ini.

PUTRAJAYA, 1 Mac -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bercakap pada sesi sidang media antara Kementerian Belia dan Sukan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai kerjasama bagi tayangan skrin besar Liga Super 2023, hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hannah meminta penyokong keluar beramai-ramai untuk menonton bola sepak di skrin besar. — Bernama

"Berdasarkan data yang kita kumpul untuk program skrin besar, bagi dua tayangan Piala AFF 150,000 rakyat keluar untuk menonton. Oleh kerana populariti skrin besar, kita akan berbelanja teruskan program skrin besar,” katanya pada sidang media majlis pengumuman kerjasama itu di Menara KBS pada Rabu.

Pada masa sama, Hannah memberi bayangan program tersebut akan diteruskan bagi perlawanan-perlawanan seterusnya selepas menilai sambutan yang diberikan penyokong dalam empat tayangan pertama.

"Saya minta penyokong keluar beramai-ramai kerana bila tak ramai di lokasi tersebut, mungkin kita akan pindahkan ke tempat yang ada lebih banyak penyokong, jadi terpulang kepada penyokong masing-masing untuk menjayakan program skrin besar ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, program berkenaan dapat membantu memeriahkan saingan liga dan kelab yang bertanding dalam saingan liga musim ini.

"MFL seterusnya akan bekerjasama dengan KBS berhubung apa sahaja agenda melibatkan Liga Malaysia musim ini dan berikutnya," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram