PEMBENTANGAN Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menyaksikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 akan diberikan kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Golongan pesara kerajaan juga tidak terlepas daripada menerima bantuan tersebut dengan agihan sebanyak RM350 juga akan disalurkan bermula April.
Justeru, bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi dijangka dapat dijalani dengan baik oleh rakyat Malaysia susulan bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan memudahkan segala kos persiapan bagi perayaan Aidilfitri dan sebagainya.
Meskipun ia disambut baik oleh rata-rata masyarakat, namun sesetengah pihak mendakwa bantuan tersebut bersifat 'berat sebelah' yang mana hanya menumpukan golongan penjawat awam berbanding pekerja di sektor swasta.
Kepentingan rakyat khususnya di sektor swasta tidak tersenarai dalam agihan berkenaan dan ia nyata menerima pelbagai spekulasi bagi mereka yang terkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat. — Bernama
Antara isu berbangkit adalah jurang tarikh antara sesi persekolahan 2023 dan sambutan perayaan Aidilfitri dikatakan terlampau rapat selain bakal mengundang kos perbelanjaan yang tinggi khususnya bagi ibu bapa.
Kalendar persekolahan bagi sesi 2023/2024 akan bermula pada Mac manakala Hari Raya Aidilfitri pula dijangka pada April tahun ini.
Pertembungan dua perihal itu membuka mata pihak berkenaan dengan ia bertitik tolak daripada sesi pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri yang dilihat terlepas pandang golongan pekerja swasta.
Di laman Facebook, Aziey Alisa meluahkan pendapatnya berhubung perkara itu dengan penekanan diberikan kepada ibu bapa yang bukan dalam kalangan kakitangan kerajaan.
"Yang bukan bekerja di sektor kerajaan macam mana, tahun ini tarikh buka sekolah dan raya Aidilfitri rapat jadi perbelanjaan sangat tinggi untuk anak yang nak masuk sekolah.
"Ditambah pula dengan persediaan bulan Ramadan dan Aidilfitri, kalau yang sudah bersedia awal tak mengapa la tetapi bagaimana pula bagi yang kurang berkemampuan," jelasnya.
"Penjawat awam memang beruntung kerana dapat bantuan, yang kerja swasta dan berniaga sendiri dapat habuk, tiada bantuan pun buat kami," kata Rizaljdt Rizaljdt.
Dalam pada itu, timbul pula tentangan daripada segelintir pihak yang berpendapat pekerja sektor swasta sudah dimewahi dengan bonus gaji tahunan dan sebagainya berbanding kakitangan kerajaan yang hanya bergaji rendah.
Menyangkal persepsi sedemikian, Imran Nazmi menjelaskan hanya beberapa syarikat sahaja yang melaksanakan imbuhan bonus dan selebihnya tidak.
"Bukan semua syarikat swasta mampu nak bagi bonus, tambahan pula majikan sekarang baru nak bangkit daripada kejatuhan di zaman Covid-19, jadi ada yang terpaksa potong gaji pekerja dan sebagainya," ujarnya.
"Yuran, kelengkapan anak-anak nak bersekolah bukan sikit, lagi-lagi nak raya memang akan terkesan bagi ibu bapa, sepatutnya kerajaan beri sedikit bantuan juga kepada yang bekerja di sektor swasta baru adil," tambah Suhaila Maya.
Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat ketika pembentangan Belanjawan 2022 telah menyalurkan bantuan kepada pelajar sekolah.
Pada Januari lalu, seramai tiga juta murid yang memasuki Tahun Dua hingga Tingkatan Lima tanpa mengira had pendapatan ibu bapa telah menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 seorang.
Namun, pembentangan Belanjawan tahun ini menerima pelbagai reaksi bercampur baur dalam kalangan rakyat dengan kebanyakannya kurang berpuas hati dengan bantuan yang diterima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram