Sah bertemu Hong Kong, sentuhan 'team bukan mesin' ditagih fans Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 28 Feb 2023

Skuad negara gagal melayakkan diri ke peringkat akhir dalam kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. — FAM

SKUAD Harimau Malaya sah bakal bertemu pasukan Hong Kong dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 28 Mac nanti.

Perkhabaran itu dikongsikan di laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Hong Kong (KHFA) yang turut menyenaraikan jadual pasukan kebangsaan mereka dari 20 hingga 29 Mac ini.

Namun, lokasi stadium perlawanan masih belum diumumkan setakat ini dengan tumpuan peminat ketika ini terarah kepada persiapan anak-anak buah Kim Pan-gon menjelang perlawanan tersebut.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas antarabangsa adalah ketika kempen Piala AFF Mitsubishi Electric Disember tahun lalu dengan skuad Harimau Malaya terkandas di pusingan separuh akhir selepas tewas di tangan Thailand dengan keputusan 0-3 di tempat lawan.

Pemain negara yang ketika itu dicop sebagai 'skuad mesin', gagal mencapai sasaran peminat tempatan yang mahu menyaksikan Harimau Malaya layak ke final dalam edisi lepas.

Bertitik tolak daripada itu, rata-rata penyokong negara atau lebih dikenali sebagai 'Ekor Harimau Malaya' menggesa agar jurulatih Pan-gon kembali menyenaraikan skuad utama yang pernah menjulang nama negara sehingga layak ke pentas Piala Asia buat julung kalinya sebelum ini.

MAS

Skuad negara ketika berjaya menewaskan pasukan Bangladesh dalam aksi penentuan kelayakan ke Piala Asia 2023. — Bernama

Skuad negara yang dibarisi beberapa pemain ternama negara dalam aksi kelayakan Piala Asia tahun lalu membuktikan mengapa wujudnya terma 'skuad mesin', 'team A' dan 'team B' kebelakangan ini.

Harimau Malaya yang dibarisi ramai pemain dari pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini dikatakan lebih berkualiti daripada skuad yang tersenarai dalam kempen Piala AFF dengan jurang rentak permainan negara jelas kelihatan di bahagian serangan.

Situasi itu dilihat berpunca daripada tindakan 12 pemain Harimau Selatan yang menolak panggilan skuad negara dalam saingan Piala AFF berkenaan.

Mengulas lanjut berhubung situasi tersebut, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempertahankan tindakan pemainnya berkata, "Piala AFF adalah piala yang mengacau pemain dan jadual pertandingan."

Justeru, beberapa muka baharu telah dipanggil untuk menyertai kem latihan negara antaranya, Stuart Wilkin, Haqimi Azim, Sergio Aguero, Aliff Haiqal dan Hakim Hassan.

Enggan berputih mata dalam aksi pemanas badan sebelum bermulanya saingan Piala Asia nanti, penyokong menggesa agar skuad utama negara kembali disenaraikan dalam perlawanan menentang Hong Kong.

"Malaysia perlu senaraikan pemain utama masa kelayakan Piala Asia sebelum ini, kalau masih kekalkan 'team B, tak ke mana la kita nanti apatah lagi bertemu Hong Kong dalam persahabatan," kata Anas Shafiq.

"Skuad mesin kena masuk balik, lantak la kalau TMJ nak kata apa tapi saingan Piala Asia lebih penting dan persahabatan pun ada mata FIFA jadi tak rugi kalau dilepaskan," ujar Hafiz0092.

"Harap TMJ lepaskan pemain dia kali ini, kita dah nampak yang skuad Piala AFF kurang menjadi mungkin beberapa sahaja yang boleh dikekalkan, tapi selain daripada itu elok diberikan pada posisi pemain asal," jelas Danial Azman.

Antara nama yang disebut untuk kembali disenaraikan pengendali pasukan pada aksi persahabatan itu nanti adalah Afiq Fazail, Azam Azih, Arif Aiman, Corbin Ong, Shahrul Saad, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor.

Berdasarkan ranking FIFA semasa, Hong Kong berada di kedudukan ke-146 dunia, manakala Malaysia pula berada satu anak tangga di atas iaitu ke-145 dunia.

Malaysia sebelum ini pernah bertemu sebanyak 30 perlawanan dengan Hong Kong dengan rekod kemenangan sebanyak 14 kali berjaya diperolehi, seri sembilan kali dan tewas tujuh kali.

Setakat artikel ini ditulis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengumumkan senarai pemain yang bakal terlibat dalam perlawanan itu nanti dan semestinya magis Pan-gon kembali ditagih penyokong negara yang kehausan kejuaraan pada tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram