PEMAIN sayap lincah, Arif Aiman Hanapi sememangnya antara watak penting dalam pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dengan kehadirannya kerap kali menghasilkan hantaran merbahaya buat pasukan lawan.
Mula beraksi bersama skuad Harimau Selatan pada 2020, pemain kelahiran Pahang itu telah berjaya menjulang lima trofi bersama JDT dengan enam kejuaraan di peringkat domestik selain turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dua kali berturut-turut dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan pada 2021 dan 2022.
Ia sekali gus membuktikan betapa JDT kini mempunyai seorang pemain muda berkualiti yang mampu menyinar jika terus diberikan pendedahan dan peluang dalam karier bola sepaknya.
Amat diminati dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air, beberapa laporan media antarabangsa turut pernah memuji bakat yang ada dalam diri pemain berketinggian 170 meter tersebut.
Terbaharu, legenda Harimau Malaya dan juga bekas pemain JDT, Safee Sali turut tidak terlepas daripada melambungkan pujian terhadap Arif.
Safee yang baru sahaja mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak baru-baru ini, memuji sikap terpuji yang dimiliki Arif menerusi hantaran di laman Instagram peribadinya.
Safee Sali ketika bertemu Arif selepas menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT dan TFC. — Instagram/SafeeSali
Enggan melepaskan peluang untuk bergambar bersama, Safee memuji perwatakan serta kebolehan pemain kebangsaan itu.
1. Pemain matang
Meskipun baru sahaja berusia 20 tahun, sifat kematangan Arif di dalam dan di luar padang menerima pujian ramai dengan dia sentiasa disenangi rakan sepasukannya.
Tidak hairanlah, Safee percaya usia muda tidak membataskan kebolehan Arif apabila berjaya berdaya saing dalam kalangan pemain yang lebih senior dan berpengalaman daripadanya.
Tidak pernah terpalit dengan mana-mana isu ataupun gosip di luar padang, kematangan yang dimiliki antara topik yang menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat dan rakan sepasukannya.
2. Corak permainan menghiburkan
Memiliki skil dan kelajuan tinggi, kehadiran Arif sentiasa mengkucar-kacirkan barisan benteng pertahanan lawan dengan pemain yang beraksi di bahagian sayap kanan itu antara yang sering dirantai pasukan lawan.
Meskipun bertubuh kecil, ia langsung tidak memadamkan semangatnya apabila berjaya tersenarai dalam panggilan skuad kebangsaan ketika perlawanan kelayakan Piala Asia pada tahun lalu.
Meskipun Malaysia diundi dalam kumpulan E bersama pasukan Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh, kehadiran Arif dilihat merupakan antara penyumbang terbesar dalam skuad apabila Harimau Mlaya berjaya menamatkan penantian selama 42 tahun untuk melayakkan diri di Piala Asia 2023.
3. Sifat rendah diri
Arif Aiman menyifatkan dirinya seorang pemain yang tidak mudah berpuas hati dengan prestasinya di padang.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 dan 2022 menganggap kejayaan tersebut sebagai tiket untuk terus berusaha beraksi pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan.
Menerusi laporan media, Arif Aiman berkata, tiada rahsia di sebalik kematangan dan ketenangan yang ditonjolkan dalam permainannya biarpun menjadi pemain termuda beraksi untuk skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
"Sebab saya anggap bola sepak macam satu hobi, memang saya minat dari dulu dan tidak anggap ia satu bebanan dan ini kerja yang saya hendak dari dulu lagi," katanya.
4. Hormat senior
Arif Aiman Hanapi bukan sahaja memukau peminat bola sepak tempatan di atas padang, bahkan sikapnya di luar waktu perlawanan juga menjadi perhatian ramai.
Sebelum ini, tindakan Arif yang bersalam dan mencium tangan Amri Yahya selepas disapa dalam perlawanan akhir Liga Super musim lalu hangat diperkatakan warganet.
Tindakan spontan Arif bersalaman dengan Amri yang juga bekas pemain JDT itu nyata antara sifat yang perlu dicontohi pelapis-pelapis muda negara.
Justeru, maka tidak hairan la jika pemain berstatus legenda seperti Safee Sali turut menyanjungi pemain tersebut kerana empat perkara di atas sememangnya antara sifat yang jarang ditemui dalam mana-mana pemain di zaman sekarang.
Berbekalkan usia muda yang dimiliki, harapan peminat semestinya mahu menyaksikan Arif terus melebarkan sayap di persada antarabangsa pada masa akan datang dengan kini fokus utamanya semestinya tertumpu kepada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirai tidak lama lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram