MENTERI Pengangkutan Loke Siew Fook dilaporkan sedang dalam membuat pertimbangan untuk melanjutkan tempoh sah lesen memandu kepada 10 tahun berbanding lima tahun.
Selain itu, tawaran diskaun juga akan dikemukakan bagi individu yang memperbaharui lesen memandu untuk tempoh tersebut bagi memberi galakan kepada orang ramai berbuat demikian.
Ketika ini, lesen memandu dibenarkan diperbaharui untuk tempoh maksimum selama lima tahun dan cadangan terbaharu itu dijangka memberikan kelebihan buat rakyat.
Namun, sesetengah pihak mula mendakwa bahawa perkhabaran itu seolah-olah tiada kepentingan dan keperluan kepada rakyat dengan tempoh yang sedia ada sudah memadai untuk dikekalkan.
Tampil dengan beberapa cadangan dan idea tersendiri, rata-rata masyarakat Malaysia menggesa agar kadar bayaran lesen memandu dikenakan sekali untuk seumur hidup.
Perkara itu dikatakan lebih memudahkan selain dapat membantu mengurangkan beban rakyat yang telah sekian lama terbeban dengan tempoh bayaran tersebut.
Helmy Hitchock berpendapat, lesen memandu tidak perlu diperbaharui pada setiap tahun kerana boleh mendatangkan kerugian jika seseorang itu meninggal dunia.
"Lanjut tempoh untuk 10 tahun, tapi apa pula jadi pada mereka yang meninggal, macam tak adil kalau kita bayar beratus ringgit dan duit itu hangus macam itu sahaja bila meninggal," katanya.
"Tak perlu sampai 10 tahun, andai kata meninggal dunia dalam tempoh bawah lima tahun adakah duit itu dipulangkan kepada waris? soal Nadirah Nadzam.
"Seeloknya tak payah perbaharui lesen, biar sekali seumur hidup sudah memadai lagi memudahkan rakyat daripada hanya lanjutkan tempoh," tambah Azizan Ramdi.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan dan kad lesen secara fizikal.
Mod paparan digital telah diperkenalkan kepada pemandu dengan ia boleh didapati menerusi Portal Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau di aplikasi MyJPJ.
Meskipun perkara itu disambut baik oleh masyarakat namun, berita terbaharu yang diumumkan berkenaan lanjutan tempoh lesen memandu nyata kurang mendapat persetujuan ramai dengan ia dihujani pelbagai pendapat.
Justeru, diharap pihak kerajaan mengkaji semula permasalahan yang berbangkit selain isu yang diutarakan oleh rakyat ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram