Guru MRSM didakwa bocor kertas 2 sejarah SPM, pegawai kanan Mara sangkal tuduhan tak berasas


  • Massa
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Calon SPM 2022 berdepan dengan pelbagai isu berbangkit sejak peperiksaan itu mula berlangsung. — Awani

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 semakin hangat diperkatakan dengan beberapa isu berbangkit sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, kecoh di laman media apabila individu pelontar suara bagi audio Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) dilakukan oleh seorang pempengaruh TikTokers.

Situasi itu sekali gus mengundang seribu satu spekulasi dalam kalangan pelajar mahupun tenaga pengajar yang mengecam pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung lantikan tersebut.

Masih di dalam konteks yang sama, isu peperiksaan SPM sekali lagi mengungguli carta teratas di Twitter apabila seorang guru dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) didakwa membocorkan soalan Kertas 2 subjek Sejarah yang telah pun berlangsung baru-baru ini.

Topik bagi soalan kertas sejarah itu didakwa tersebar di aplikasi WhatsApp dan antara topik yang dikatakan bocor membabitkan ‘Malayan Union’.

Dakwaan warganet mengatakan soalan bocor itu diberikan oleh seorang guru yang juga merupakan penggubal soalan Sejarah daripada sekolah berasrama penuh.

bob

Kiriman WhatsApp yang tular memaparkan perbualan antara inividu didkawa membocorkan soalan Kertas 2 Sejarah SPM 2022.

Mengulas lanjut berkaitan isu tersebut, Ketua Penolong Pengarah Kaunseling Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Dr. Zulkifli Hussain dalam kenyataannya menyangkal tuduhan terbabit.

Menganggap tuduhan itu sebagai satu perkara tidak berasas, beliau turut mempersoalkan perkongsian tular yang diperkatakan di laman media sosial sejak Khamis lalu.

Menurutnya, individu Norhayati Mat Zain yang dituduh membocorkan kertas soalan ujian tersebut bukan guru ataupun tenaga pengajar dari MRSM seperti yang diperkatakan.

"Kami tidak pernah mengenali beliau dan guru subjek Sejarah MRSM tidak pernah ada sebarang urusan dengan individu terbabit.

"Guru sejarah MRSM tidak terlibat dalam penggubalan soalan kertas sejarah yang dimaksudkan dan pendidik tidak mempunyai keupayaan untuk mengakses soalan peperiksaan.

"Kami yakin dengan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan akan membantu pelajar menghadapi peperiksaan, jadi kami tidak memerlukan dan tidak mencari soalan bocor," katanya.

Jelas beliau, penggubalan modul soalan bagi kertas Sejarah tidak diwakili mana-mana guru dari MRSM.

"Tiada seorang pun guru MRSM yang terlibat dalam penggubalan modul subjek Sejarah dan kami telah membinanya sendiri menggunakan kepakaran yang ada.

"Kami sebagai pendidik sentiasa faham dan patuh terhadap prosedur peperiksaan dan pelajar merupakan amanah yang sentiasa kami jaga dengan baik," tambahnya.

Sehubungan perkara itu, rata-rata pelajar kesal dengan perkara terbabit dan berharap supaya tidak perlu menduduki semula kertas berkenaan.

Ujian Sejarah yang terdiri daripada Kertas 1 dan Kertas 2 merupakan subjek teras yang perlu diambil pelajar.

Untuk rekod, seramai 403,637 calon dilaporkan menduduki peperiksaan bertulis SPM 2022 yang bermula Isnin lalu hingga 15 Mac, membabitkan 3,355 pusat peperiksaan di seluruh negara.

KPM dalam kenyataannya memaklumkan seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram