Bazar Ramadan Rahmah perlu berlaku adil, golongan peniaga patut jadi keutamaan


  • Massa
  • Khamis, 23 Feb 2023

Bazar Ramadan Rahmah antara inisiatif terbaharu dalam perbincangan pihak kerajaan.

MENU Rahmah merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan orang ramai khususnya yang kurang berkemampuan menikmati hidangan tengah hari dan malam pada harga maksium RM5.

Perkara itu disambut baik oleh setiap lapisan masyarakat dengan ia dilihat sebagai usaha kerajaan membantu golongan B40 khususnya yang sering terpalit dengan isu kos sara hidup kebelakangan ini.

Terbaharu, satu lagi insiatif kerajaan dijangka akan berlangsung menjelang bulan Ramadan nanti dengan pengenalan Bazar Ramadan Rahmah sedang dalam perancangan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri berhubung cadangan tersebut.

Menurut laporan Awani, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beberapa lokasi strategik sudah pun dikenal pasti dan pihaknya bersama PBT bakal memperkenalkan kadar sewa Rahmah bagi setiap tapak di bazar berkenaan dengan perkembangan itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

RT

Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beberapa libat urus dan perbincangan akan dilaksana bersama pihak tertentu. — Berita RTM

Namun, perkhabaran itu mula menerima pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan masyarakat yang rata-ratanya mahu kajian terperinci dijalankan berhubung cadangan tersebut.

Ia bertitik tolak daripada isu berbangkit berkaitan Menu Rahmah yang mana sebelum ini telah mengundang keluhan dalam kalangan peniaga berkaitan kos barangan mentah yang dikatakan tidak seiring dengan kos menu tersebut.

Mengulas lanjut berkaitan isu terbabit, Majoriti mendapatkan pendapat daripada golongan peniaga yang terkesan dengan perkara berkenaan.

Yusuf Ahmad, 34 yang merupakan bekas pengusaha restoran di Sabah sebelum ini berpendapat, cadangan itu perlu bersesuaian dengan keadaan semasa dan membantu semua pihak.

"Saya sokong usaha kerajaan kali ini tetapi diharap ia tidak berat sebelah dengan hanya membantu golongan pembeli sahaja.

"Kami peniaga juga perlu dibantu dan penyertaan premis niaga dalam penubuhan Bazar Ramadan itu nanti mesti bantu peniaga yang betul-betul terkesan dalam perniagaan.

"Kalau ia dibuka pada khalayak umum, memang yang kaya akan terus kaya yang miskin pula semakin miskin kerana lebih menguntungkan pihak berkenaan," katanya kepada Majoriti.

KUN

Gerai niaga yang dijalankan Yusuf Ahmad di sebuah tapak pasar malam di sekitar Lembah Klang.

Pernah menjalankan perniagaan restoran sebelum ini, penularan wabak Covid-19 yang melanda dua tahun lalu nyata telah meragut segalanya sehingga memaksa pemuda itu berniaga di pasar malam ketika ini.

"Saya akur dengan apa yang terjadi dan bukan saya sahaja yang terkesan dengan perkara itu, malah semua peniaga berhadapan isu sama.

"Bazar Rahmah perlu sokong kami yang terkesan dalam perniagaan maka syarat ketat perlu dibuat sebelum ia dibuka kepada orang ramai. Zaman sekarang semua sudah mahu berniaga, golongan artis dan pempengaruh juga dah menceburi bidang itu jadi fikir la logik pihak mana yang lebih memerlukan bantuan nanti," tambahnya.

Justeru, tumpuan masyarakat khususnya peniaga ketika ini menggesa kerajaan untuk menjalankan satu penelitian terhadap syarat dan bantuan yang perlu diutamakan dalam penubuhan bazar itu nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram