[VIDEO] Dakwa kena himpit dulu, 2 pemilik BMW ligan, ugut pemandu bas di Kulai


  • Tular
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Tangkap layar dua individu lelaki diyaki mabuk bertindak ganas menahan dan mengancam keselamatan seorang pemandu bas di Kulai pada Jumaat.

DUA individu lelaki yang menaiki kereta BMW bertindak ganas apabila menahan dan mengancam keselamatan seorang pemandu bas di Kulai, Johor pada Jumaat.

Si pelaku yang terlebih dulu mendakwa dihimpit sehingga hampir berlanggar, gagal mengawal kemarahan apabila terus memotong dan menahan bas berkenaan di bahu jalan.

Tersentak dengan insiden tersebut, pemandu bas berkenaan kemudiannya enggan mengalah sebaliknya terus mencabar dua individu terbabit dengan merakamkan kejadian itu menerusi telefon pintar.

Rakaman itu berakhir tanpa sebarang kecederaan namun, warganet menggesa agar laporan polis dibuat oleh mangsa berhubung insiden tersebut.

Dalam video tersebut, pemandu bas terbabit juga mendakwa kedua-dua lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Johor, Superintendan Tok Beng Yeow mengesahkan kedua-dua suspek berusia 32 dan 42 tahun berkenaan telah berjaya ditahan.

"Suspek difahamkan dalam keadaan mabuk dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Pengguna jalan raya diseru untuk mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang," katanya dalam satu kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram