Dikata ada faktor 'istimewa', Kelantan diramal benam Kuching City


  • Podium
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Perlawanan Liga Perdana antara Kelantan FC dan Kuching City musim lepas mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan. — MFL

MUSIM lalu, Kelantan FC dan Kuching City FC merupakan antara pasukan terbaik Liga Perdana apabila menduduki tangga kedua dan ketiga liga.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung adalah pada Julai tahun lalu yang mana berakhir dengan kemenangan berpihak buat skuad The Red Warrior (TRW) dengan skor 2-0.

Bagaimanapun, mereka akan sekali lagi berentap dalam aksi pembukaan Liga Super pada Sabtu yang mana bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Sepanjang jendela perpindahan yang lalu, kedua-dua pasukan sudah melakukan pelaburan bagi memastikan kehadiran mereka tidak dipandang rendah kelab-kelab gergasi.

Tetapi, berdasarkan pemerhatian kedua-dua pasukan, Kelantan FC memiliki kelebihan selepas rombakan besar-besaran dibuat pihak pengurusan, baik dari segi pemain mahupun barisan kejurulatihan.

choi

Pengalaman Moon-sik menjadi sebab pihak pengurusan Kelantan FC mendapatkan khidmatnya. Facebook/TRW Kelantan FC

Kehadiran ketua jurulatih kelahiran Korea Selatan, Choi Moon-sik menjanjikan suasana baharu buat pasukan Pantai Timur itu selepas Rezal Zambery Yahya terpaksa disisihkan berikutan isu kelayakan.

Bagi meningkatkan kualiti skuad pula, pemilik kelab, Norizam Tukiman memilih untuk membawa masuk beberapa wajah baharu seperti Manuel Cifuentes, Leonardo Rolon dan Nuha Marong.

Sementara itu, Kuching City juga akan mempertaruhkan pengalaman Irfan Bakti Abu Salim sebagai jurulatih yang sudah cukup memahami tentang rencah bola sepak tempatan dan pasti akan mengunakan kelebihan itu sebaik mungkin.

Joseph Kalang Tie sekali lagi pasti akan menjadi taruhan Irfan Bakti untuk mengferakkan bahagian sayap supaya dapat melakukan hantaran-lataran lintang kepada Abu Kamara sebagai penyerang utama.

Atas ciri-ciri yang dinyatakan itu nampak seimbang tetapi apabila bermain di laman sendiri ia memberi kelebihan kepada skuad TRW kerana sorakan yang akan diberikan penyokong mereka pasti menggamatkan suasana dalam perlawanan itu.

Ini akan memberi sedikit tekanan kepada pemain-pemain The Cats, namun dalam perlawanan pembukaan liga kebiasaannya setiap pemain akan mencari tempo untuk menyesuaikan diri dan berhati-hati dalam setiap gerakan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram