PEMILIK pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman mengesahkan Leonardo Rolon sebagai pemain import kesembilan The Red Warriors (TRW) selepas penyerang dari Australia tidak jadi sertai mereka bagi saingan Liga Super musim ini pada Khamis.
Selepas tiga hari mengumumkan bakal menyambar penyerang kebangsaan Australia, Norizam atau lebih dikenali Zamsaham memuat naik hantaran Facebook menyatakan Rolon dalam perjalanan ke Kelantan bagi menyiapkan dokumen perpindahannya.
"Bekas pemain kebangsaan Argentina bawah 20 (B-20) tahun, Leonardo Rolon menggantikan pemain Australia yang saya nak ambil, semoga selamat sampai ke bumi Kelantan," katanya di Facebook.
Sebelum ini, banyak spekulasi menyatakan penyerang Australia yang bakal menyertai Kelantan ialah Eli Babalj.
Eli Babalj pernah beraksi bersama beberapa pasukan terkemuka di Eropah, antaranya ialah Red Star dan AZ Alkmaar.
Leonardo Rolon. — Agensi
Namun adakah anda tahu, Leonardo Rolon turut pernah beraksi bersama bintang Atletico Madrid dan Napoli.
Rolon yang ketika itu berusia 19 tahun beraksi bersama Angel Correa (Atletico Madrid), Giovanni Simone (Napoli).
Malah Rolon turut pernah beraksi bersama rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Al-Nassr, Agustin Rossi yang menyertai gergasi Arab Saudi itu pada bulan lalu.
Rolon yang boleh beraksi sebagai pemain sayap, penyerang dan bek kanan pernah beraksi bersama beberapa kelab di Argentina, Mexico dan Colombia.
Menurut laman sesawang Transfermarkt, rekod Rolon sepanjang bergelar pemain bola sepak tidaklah begitu baik daripada segi jaringan.
Ia kerana sepanjang 132 perlawanan, Ralon hanya menjaringkan enam gol dan 12 assist dalam semua kejohanan yang pernah disertainya.
Angel Correa. — Agensi
Kelantan FC sudah melengkapkan sembilan kuota pemain import sekali gus memberi ‘isyarat’ mereka bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2023.
Pemain asing yang menyertai mereka adalah Cifu (Sepanyol), Kim Min-gyu, (Korea Selatan), Kang Yi-chan (Korea Selatan), Nuha Marong (Gambia), Mario Arqués (Sepanyol), Carli De Murga (Filipina), Ismahil Akinade (Nigeria), Christian Rontini (Filipina) dan Leonardo Rolon (Argentina). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram