'Penaja sama, takkan rekaan pun sama', penyokong Sabah tak puas hati jersi away PDRM


  • Podium
  • Khamis, 23 Feb 2023

Rekaan jersi away PDRM (kiri) musim ini dikatakan hampir sama dengan jersi home Sabah FC pada musim lepas.

LIGA Super 2023 bakal membuka tirai pada Jumaat dan dimeriahkan dengan kehadiran 14 pasukan yang akan berentap merebut kejuaraan dan tiket ke Liga Juara-Juara ACL serta Piala AFC.

Pasukan-pasukan tersebut ialah Johor Darul Takzim (JDT), Terengganu, Sabah, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur City (KL City), Sri Pahang, Kedah, Penang FC, Kelantan, Kuching City, Kelantan United, PDRM dan Perak.

Hampir semua kelab sudah memperkenalkan jersi home dan away masing-masing sebagai menandakan permulaan baharu liga musim ini.

Di sebalik itu, jersi away pasukan PDRM mencuri perhatian apabila dikatakan hampir sama dengan jersi home Sabah FC pada musim lepas.

Mengekalkan warna merah dengan lengan pendek putih, jersi itu sekali pandang kelihatan serupa dengan jersi home skuad Sang Badak pada musim lalu.

Bahkan ia nampak sama kerana nama penaja utama Sabah FC musim lepas iaitu redONE menghiasi bahagian depan jersi away PDRM.

Yang membezakan jersi tersebut hanyalah logo kelab dan corak jalur embossed pada away kit PDRM berbanding jersi tanpa corak Sabah FC.

Jersi PDRM menggunakan pengeluar lokal, Oren Sport manakala Sabah FC mengekalkan jenama antarabangsa, Lotto bagi musim ini. Penaja utama Sabah pula ialah Sawit Kinabalu.

"Senang betul Oren bikin design," kata Nu Ai Man.

"Dahlah warna dan design sama, penaja pun redONE," ujar Mohd Zulkhairi Abdullah pula.

331421180_731151341932323_9024660192332419379_n

Kit pengilang dan pengeluar jersi kelab Liga Super musim 2023. — Facebook

Jersi away PDRM bakal dilihat buat kali pertama di Stadium Likas pada 25 Februari ini. Ini selepas Sabah FC akan menerima kunjungan PDRM dalam aksi sulung saingan Liga Super musim ini.

Sebelum ini, timbul kontroversi berkaitan jersi Penang FC selepas mendakwa terdapat seorang individu daripada pihak pengurusan terlibat dalam aktiviti cetak rompak jersi Harimau Kumbang.

Pembekal dan pengeluar jersi Penang FC musim 2023, Kaki Jersi menegaskan bahawa tiada kemungkinan penipuan dan cubaan cetak rompak itu berlaku kerana tiada pihak yang mempunyai akses untuk mendapatkan reka bentuk digital jersi baharu mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram