SELEPAS mendapatkan khidmat Nuha Marong sebagai penyerang baharu, Kelantan FC dilaporkan masih berusaha keras untuk membawa masuk beberapa pemain sebelum jendela perpindahan ditutup pada Khamis.
Pemilik kelab, Norizam Tukiman sebelum ini melaporkan pasukan itu bakal menerima kehadiran seorang penyerang kelahiran Australia yang tidak dikenal pasti identitinya sehingga kini.
Minat yang dipamerkan pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) itu sudah cukup untuk membanggakan penyokong yang semakin berpuas hati dengan kebangkitan kelab berkenaan.
Tetapi, persoalannya, mampukah Kelantan FC mendapatkan seorang lagi penyerang import apabila masa semakin suntuk buat kelab itu untuk melakukan pendaftaran?
Selain itu, kuota pemain import yang sudah hampir mencukupi dilihat akan menutup kehadiran penyerang misteri itu walaupun mereka masih memerlukan sentuhan berbisa di posisi berkenaan.
Kegusaran itu diluahkan segelintir penyokong TRW yang masih kurang yakin dengan kemampuan Marong di samping beberapa aksi mengecewakan daripada penyerang kelahiran Melaka, Nurshamil Abd Ghani sepanjang tempoh pramusim.
Tinjauan di media sosial mendapati terdapat beberapa cadangan yang diluahkan rata-rata peminat setia Kelantan FC supaya jentera serangan pasukan akan terus berkualiti sepanjang musim.
Adakah Hazwan bakal meninggalkan skuad Harimau Selatan sebelum musim depan? — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagi seorang penyokong bola sepak tempatan, Jay Thai, kelab Pantai Timur itu disyorkan untuk mengejar khidmat penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Hazwan Bakri.
"Dikhabarkan Hazwan Bakri bakal dipinjamkan ke Kelantan FC, namun ada sedikit perkhabaran yang tidak begitu menggembirakan kerana mereka tidak suka meminjam.
"Jika berbaloi dengan harga yang diletakkan JDT, mungkin Kelantan akan beli kerana kami bukanlah tempat persinggahan pemain lain untuk dipinjamkan," katanya.
Pendapat itu seolah-olah diterima baik rata-rata penyokong TRW yang masih berminat dengan pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Super 2016 itu.
"Belilah, apa ditunggu-tunggu lagi?" kata Hazim Masrom.
"Boszam (Norizam) pastinya berkemampuan, OK je tu," kata Hampir Ketawa.
Sepanjang jendela perpindahan ini, Kelantan FC turut mengambil seorang pemain JDT, Carli de Murga yang sukar mendapatkan minit permainan sejak menyertai skuad Harimau Selatan musim lepas.
Bagi Hazwan pula, dia juga pastinya terbuka untuk mencari angin baharu dalam kariernya apabila dia hanya diberikan empat penampilan Liga Super musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram