TIDAK semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) musim ini mengambil khidmat sembilan import seperti yang dibenarkan oleh pengelola liga, Malaysian Football League (MFL).
Berdasarkan semakan Majoriti, sebanyak lima pasukan memaksimumkan penggunaan pemain import dengan mengikat sembilan pemain asing termasuk mengekalkan pemain daripada musim terdahulu.
Pasukan tersebut ialah Johor Darul Takzim (JDT), KL City FC, Penang FC, PDRM FC dan Kelantan FC. Sembilan lagi kelab lain nampaknya sudah berpuas hati dengan jumlah import masing-masing.
Begitupun, sebelum jendela perpindahan pertama Liga M ditutup pada 11.59 malam, Khamis, ada beberapa kelab membuat keputusan saat-saat akhir apabila pantas menyambar import yang dikehendaki bagi melengkapkan pasukan dalam misi memburu tiga kejuaraan utama yang ditawarkan bagi musim 2023.
Ada kemungkinan KDA FC mahu menambah seorang lagi pemain import musim ini. — Facebook
Khabar angin terbaharu mengaitkan Taiki Kagayama ke beberapa kelab Liga M selepas bekas pemain sayap Sang Badak itu dilaporkan kembali ke Malaysia.
Terdapat ura-ura mengatakan pemain itu bakal ke Negeri Sembilan FC namun desas-desus tersebut segera ditepis oleh jurucakap NSFC kepada Majoriti yang mengatakan bahawa Safuwan Baharudin merupakan import terakhir skuad Jang.
Bintang kelahiran Jepun itu lantas dikaitkan dengan pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) memandangkan ada kemungkinan besar seorang lagi penyerang import baharu dimasukkan pada musim ini sebelum saingan bermula.
Meskipun skuad Sang Kenari sudah memperkenalkan barisan pemain dengan nombor jersi masing-masing untuk musim ini, tidak mustahil pasukan tersebut mencipta kejutan di saat-saat akhir.
Pemain berusia berusia 26 tahun itu juga dikaitkan ke Terengganu FC yang sudah mengikat lapan import setakat ini sebagai penambahan kepada pemain sedia ada untuk menghadapi saingan Piala AFC nanti.
Taiki mencipta rekod lima gol dan tiga bantuan gol sepanjang beraksi dengan Sabah pada musim lepas. — Facebook
Dengan Liga Super membuka tirai secara rasmi pada Jumaat, mungkin ada penambahan yang dilakukan oleh sebuah lagi kelab Liga M, Perak FC yang perlu memperkuatkan barisan serangan selepas dilihat membuat pembelian mengejut tiga pemain Korea Selatan.
Boleh jadi juga bekas tonggak jentera serangan Sabah FC itu dilaporkan akan kembali ke skuad Sang Badak apatah lagi Taiki yang dibawa masuk oleh pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee musim lalu, membentuk gandingan yang cukup baik dengan pemain lain.
Apatah lagi, Taiki dengan rekod lima gol dan tiga bantuan gol sepanjang beraksi dengan Sabah pada musim lepas dilihat mampu memperkuatkan cabaran pasukan The Rhinos yang bakal beraksi di saingan Piala AFC kelak.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, terdapat dua lagi pasukan yang belum melengkapkan sijil perpindahan antarabangsa pemain import sebelum jendela perpindahan pertama ditutup.
Katanya, kedua-dua pasukan itu masih dalam fasa penilaian akhir sebelum menandatangani pemain import yang diperlukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram