Ada kisah di sebalik nama Lokman tiada dalam senarai 'bocor' skuad Tok Gajah


  • Podium
  • Khamis, 23 Feb 2023

Kelibat Lokman Bah Din tidak kelihatan dalam beberapa siri perlawanan pra musim skuad utama Pahang FC baru-baru ini. — Facebook/Pahang FC

PASUKAN Sri Pahang FC pada musim ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan penyokong dengan kemasukan beberapa muka baharu dilihat mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan lain.

Pemain muda, Lokman Bah Din turut meraih perhatian dengan berita kemasukan pemain itu diumumkan oleh pengurusan skuad Tok Gajah pada Januari lalu.

Namun, menjelang aksi pra musim persahabatan yang dijalankan baru-baru ini, kelibat anak muda berketurunan Orang Asli dari Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis di Pahang itu tidak kelihatan di atas padang.

Situasi itu nyata mengundang seribu satu persoalan dan spekulasi peminat berhubung status pemain berkenaan bersama Pahang.

pah

Pengumuman rasmi berhubung kemasukan Lokman Bah Din ke skuad Pahang FC bagi musim 2023.

Hasil tinjauan Majoriti di laman Facebook Sri Pahang FC mendapati, khabar berita mengatakan Lokman diserap masuk ke skuad bawah 23 tahun untuk musim ini.

Perkhabaran mengenai pemain berusia 20 tahun itu dikongsikan oleh pemilik akaun kelab pasukan terbabit di ruangan komen.

Perkara itu sekali gus menjawab segala pertanyaan penyokong berhubung ketiadaan pemain itu dalam senarai terkini skuad Pahang.

kom

Info yang dikongsikan pengendali laman Facebook rasmi Pahang FC.

Susulan berita itu, penyokong mula tampil dengan pendapat masing-masing dan kebanyakannya kurang bersetuju dengan khabar tersebut.

"Sayang dia tidak diserap masuk ke skuad utama Pahang, dia masih muda dan lincah depan pintu gol, semua nak lihat dia main dengan pasukan hebat," kata Johan Sandi.

"Kalau bermain dengan skuad utama, mungkin ada potensi untuk diserap Pan-gon ke skuad kebangsaan, itu yang kita mahukan sebenarnya daripada dia," ujar Uthman200.

"Hari itu Pahang umum masuk skuad utama tapi ini lain pula jadinya, harap Lokman tak putus asa dan terus timba ilmu sebaik mungkin di skuad B23," tambah Faliqmasnan_89.

Untuk rekod, sebelum menimba pengalaman bersama skuad Projek FAM-MSN pada 2022, Lokman pernah beraksi bersama skuad Piala Belia Pahang dan merupakan anak Orang Asli pertama terpilih untuk mewakili skuad Pahang FC di Liga Malaysia.

Pernah menyatakan hasratnya untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin bersama pemain ternama seperti Nor Azam Azih, Fadhli Shas dan Azri Nasrulhaq, semangat itu diharap agar terus berkobar di jiwa Lokman meskipun tidak tersenarai dalam skuad utama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram