Wan Saiful perlu 'gentleman', letak jawatan MP langkah terpuji bersih nama


  • Massa
  • Rabu, 22 Feb 2023

Wan Saiful Wan Jan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). — Awani

KEPUTUSAN Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Selasa nyata mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Tidak menunggu lama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan menerima hasrat Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

Untuk rekod, beliau berhadapan dengan pertuduhan menerima hampir RM7 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada Kerajaan Malaysia.

Selain itu, beliau turut didakwa meminta rasuah daripada seorang individu bagi mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

Justeru, ada pihak menggesa agar beliau terus meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan keputusan itu dilihat sebagai satu langkah terpuji sekiranya dilakukan.

Izz Abdullah berpendapat jawatannya sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor juga perlu dilepaskan bagi membersihkan namanya.

"Elok letak jawatan parlimen juga kalau betul nak buktikan tidak bersalah atau nak jaga nama baik, baru rakyat pun hormat dan sanjung," katanya.

"Letak jawatan Ketua Penerangan, lagi elok kalau lepaskan jawatan sebagai ahli parlimen juga dan lepaskan semua jawatan dalam parti baru 'gentleman', rakyat pun puas hati," ujar Salim Khan.

"Memang bagus dia undur diri pun sebab dah didakwa dalam kes mahkamah, kalau lepas jawatan parlimen pun tak ada masalah lagi bagus rasanya," tambah Usen Ayes.

Pada Khamis, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas pertuduhan dihadapi dan beliau turut dibebaskan dengan jaminan RM400,000 bersama seorang penjamin.

Pasport beliau turut ditahan oleh mahkamah manakala tertuduh diarah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dua bulan sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram