KEMAJUAN teknologi masa kini semakin maju dengan pelbagai penambahbaikan serta kemudahan yang dilaksanakan bagi membantu rakyat.
Tidak dinafikan bahawa perkara itu disambut baik oleh sesetengah pihak yang melihat ia sebagai keperluan yang harus dilaksanakan sejajar perkembangan teknologi masa kini.
Namun, seperkara lagi yang masih menjadi masalah dalam kalangan rakyat sejak dahulu adalah isu pengangguran dan peluang pekerjaan yang semakin berkurangan.
Masalah itu kian meruncing susulan pengenalan beberapa kemudahan teknologi kebelakangan ini seperti paparan lesen kenderaan secara digital, penggunaan mesin robot sebagai penghantar makanan di restoran dan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC).
Situasi itu mengakibatkan generasi muda ketika ini semakin ketandusan peluang pekerjaan dengan rata-ratanya menjadikan e-hailing sebagai kerjaya tetap.
Namun, ada pihak mula mendakwa bahawa pekerjaan itu juga semakin mendapat saingan dalam kalangan golongan belia yang sekali gus mengehadkan punca pendapatan mereka.
Matt Ijo di laman Facebook berpendapat bahawa pengenalan kemudahan digital masa kini telah menyukarkan golongan muda yang hilang punca pendapatan.
"Kerajaan pernah terfikir tak bab isu peluang pekerjaan rakyat, semua nak digital tapi rakyat pula tiada peluang kerja ditambah pula dengan lambakan warga asing yang menjadi pilihan majikan kerana boleh bayar rendah," katanya.
"Setuju dengan pengenalan digitalisasi dalam sistem lesen kenderaan cuma sepatutnya kerajaan umumkan tempoh lama sikit sebelum dikuatkuasakan sebab ada orang yang bekerja dalam sistem itu, jadi semua dah hilang pekerjaan dan terpaksa jadi penunggang e hailing sekarang," ujar Mohd Shukri.
"Kerja penghantar makanan pun dah semakin berkurangan sebab ramai yang lari ke bidang itu sekarang, sudahnya semua tiada pekerjaan," tambah Yusuf Iman.
Dalam pada itu, kos sara hidup juga semakin mendesak rakyat ketika ini dengan harga barangan mentah yang masih gagal dikawal baik oleh kerajaan, turut menjadi bualan hangat golongan peniaga.
Pengenalan Menu Rahmah mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat namun timbul pula dakwaan bahawa golongan peniaga yang dikatakan terpaksa menanggung kerugian tinggi.
Justeru, pihak kerajaan digesa untuk tidak terlepas pandang isu peluang pekerjaan dan kos sara hidup tinggi yang dihadapi rakyat ketika ini.
Di sebalik pembaharuan teknologi dan digitalisasi yang diperkenalkan kebelakangan ini, kepentingan rakyat seharusnya tidak dilupakan dengan perkara itu perlu menjadi keutamaan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram