PELABURAN yang dibuat pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sejak awal jendela perpindahan lalu membuktikan keazamannya buat pasukan Pantai Timur itu.
Meskipun ada segelintir pihak pada awalnya mempersoalkan visi dan misinya, kehadiran wajah-wajah baharu beberapa hari sebelum jendela perpindahan ditutup mengatakan sebaliknya.
Keputusannya untuk mendapatkan semula khidmat pemain kebangsaan Filipina, Andreas Esswein wajar disokong apabila ia dilihat sebagai titik permulaan buat kebangkitan pasukan.
Tidak cukup dengan itu, kehadiran penyerang kelahiran Gambia, Nuha Marong turut memberikan keghairahan buat penyokong The Red Warrior (TRW).
Manakan tidak, kemampuannya untuk menyesuaikan diri dapat disaksikan apabila pemain tinggi lampai itu sudah menjaringkan beberapa gol ketika aksi persahabatan.
Nuha Marong merupakan antara rekrut baharu Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan FC
Bagaimanapun, dengan saingan Liga Super diramal mencabar, pihak pengurusan pastinya akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin bagi memastikan mereka dapat beraksi dengan baik sepanjang musim.
Jadi, menerusi tiga hantaran yang dibuat Norizam baru-baru ini, Kelantan FC seperti bakal mendapatkan khidmat beberapa pemain import sebelum jendela perpindahan ditutup.
Bekas pertahanan Terengganu FC, Carli de Murga dan pemain kelahiran Nigeria, Ismahil Akinade difahamkan bakal berkhidmat bersama TRW pada 2023.
Namun, berdasarkan satu lagi hantaran, usahawan kelahiran Johor itu seakan-akan memberi bayangan bahawa jentera serangan akan terus diperkuatkan.
"Insya-ALLAH, seorang lagi striker bekas pemain kebangsaan Australia bakal bermain dengan TRW Kelantan FC musim ini," tulisnya.
Walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Norizam setakat ini, tinjauan di ruangan komen mendapati sebilangan besar penyokong seolah-olah dapat mengenal pasti pemain yang cuba dimaksudkan.
1. Andrew Nabbout
Penyerang Melbourne City FC, Andrew Nabbout dikatakan sebagai antara calon terbaik untuk menyertai pasukan Pantai Timur itu berdasarkan pendapat penyokong kelab itu.
Sekiranya berita itu benar, ia merupakan satu kelebihan buat Kelantan FC yang memerlukan sentuhan berbeza di posisi itu meskipun sudah diberi tumpuan sepanjang jendela perpindahan.
Pengalamannya yang pernah beraksi di Liga Super bersama Negeri Sembilan FC merupakan satu kelebihan bagi membantu pasukan tersebut terus melonjak.
Selain itu, penyerang berusia 30 tahun itu juga pernah beraksi bersama skuad antarabangsa Australia, yang mana dia berjaya menjaringkan dua gol daripada 10 penampilan.
Nabbout (kiri) pernah beraksi bersama Negeri Sembilan selama semusim.
Di peringkat kelab pula, Nabbout berpeluang berkhidmat dengan beberapa gergasi Asia, termasuk Urawa Red Diamonds dan Newcastle Jets.
Kini, kemampuannya sedikit merosot dengan gerak-gerinya sudah semakin mudah dibaca sehingga menyebabkan pihak kejurulatihan menyekat penampilannya bersama skuad utama.
Tetapi, jika dia memilih untuk kembali menyertai Kelantan FC, ketua jurulatih, Choi Moon-sik pastinya akan teruja untuk bekerjasama, lebih-lebih lagi dengan pasukan itu masih tumpul di posisi berkenaan.
2. Dimitri Petratos
Meskipun sudah hampir 10 tahun meninggalkan Kelantan FC, Dimitrios Petratos masih didambakan kepulangannya selepas pernah berjasa bersama pasukan itu.
Hasil pencarian di Internet mendapati penyerang berusia 30 tahun itu tidak pernah beraksi dalam saingan Liga Super, namun undang-undang MFL membolehkannya beraksi ketika kempen Piala AFC.
Peluang keemasan itu sememangnya diambil Petratos apabila dia menjaringkan empat gol dalam tujuh penampilan di pentas Asia, sekali gus membantu skuad TRW mara ke peringkat kalah mati.
Petratos pernah menyarung jersi Kelantan FC pada 2012.
Kini, dengan usianya juga semakin lanjut, pemain berketinggian 1.76m itu masih mempunyai bisa di hadapan pintu gol selepas menjaringkan lapan gol dalam 18 penampilan Liga India bersama ATK Mohun Bagan.
Statistik membanggakan itu membolehkan pasukan tersebut menduduki tangga ketiga dengan 15 mata dipisahkan daripada pasukan di kedudukan teratas, Mumbai City.
Pencapaian tersebut sudah cukup untuk membuka Norizam cuba mendapatkan khidmatnya dalam usaha mencipta gandingan bersama Nuha Marong dan Nurshamil Abd Ghani.
Namun, timbul juga persoalan mengenai pelaburan yang perlu dilakukan pihak pengurusan Kelantan FC melihat kepada usia dan prestasi Dimitri yang cukup membanggakan ketika ini.
3. Eli Babalj
Meskipun tidak pernah beraksi dalam kancah Liga Super, nama Eli Babalj tidak henti-henti disebut sebagai salah seorang calon terbaik berdasarkan ciri-ciri yang didedahkan Norizam.
Hal berkenaan berpunca daripada pengalaman yang pernah diraih di peringkat kelab dan antarabangsa walaupun kali terakhir dia beraksi bersama pasukan kebangsaan Australia pada 2012.
Tetapi, dengan statistiknya yang masih cemerlang, tidak hairanlah apabila terdapat ura-ura bahawa Kelantan FC berminat dalam mendapatkan khidmatnya.
Babalj tidak lagi terikat bersama mana-mana pasukan selepas kontraknya ditamatkan Newcastle Jets.
Musim lepas, pemain kelahiran Yugoslavia itu mencatatkan dua gol daripada 10 penampilan sebelum dia disisihkan daripada skuad utama atas isu yang tidak diketahui.
Selain itu, peluang TRW untuk mendapatkan khidmatnya juga cerah apabila dia tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan selepas kontraknya tamat bersama Newcastle Jets.
Oleh itu, Norizam pastinya tertarik untuk membawanya masuk, lebih-lebih lagi dengan dia tidak perlu lagi melakukan pelaburan besar menjelang penutupan jendela perpindahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram