HANYA beberapa hari sebelum jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) ditutup pada 20 Februari 2023, masih ada pasukan dikhabarkan sedang rancak membawa masuk beberapa pemain import bagi memperkukuhkan kelab masing-masing.
Malah, ada beberapa bekas tonggak import Liga M bakal membuat kemunculan semula pada musim ini dan sekali gus menjadi rebutan kelab yang masih mencari pemain berkualiti.
Seperti penyerang dari Brazil, Anselmo Arruda Da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande yang dikatakan akan kembali mewarnai saingan Liga Super dengan menyertai pasukan ternama musim ini.
Casagrande pernah mengalami kecederaan sewaktu bersama Penang FC. — Facebook/PenangFC
Semasa bersama skuad Harimau Kumbang, Casagrande pernah memiliki deria jaringan yang cukup tajam pada 2021 dengan 12 gol dijaringkan dalam 19 penampilan bagi saingan Liga Super.
Bukan itu sahaja, pemain berusia 32 tahun itu juga muncul penjaring terbanyak Liga Perdana 2018 dengan 18 gol dan merekodkan 21 gol daripada 24 perlawanan dalam semua kejohanan sekali gus dinobatkan Penjaring Terbanyak Liga Perdana 2018.
Dengan rekod mengagumkan pemain kelahiran Brazil itu, Casagrande wajar menjadi pemain rebutan bagi beberapa kelab Liga M pada musim ini lebih-lebih lagi yang masih tumpul di bahagian serangan.
Berikut tiga pasukan yang boleh memburu khidmat Casagrande sebagai penyerang utama;
1) Negeri Sembilan FC (NSFC)
Kehilangan Gustavo pastinya memberi kesan terhadap pencapaian skuad Jang untuk 2023. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Antara pasukan yang masih mencari-cari mesin gol mereka adalah pasukan NSFC susulan skuad Jang difahamkan tidak akan mengekalkan ayam tambatan pada musim lalu iaitu duo penyerang kelahiran Brazil, Gustavo dan Matheus Alves.
Gustavo dengan mudah mencetak 11 gol daripada 13 penampilan bersama skuad Jang Hobin, manakala Alves akan menjaring empat jaringan daripada 25 perlawanan bersama pasukan tersebut.
Kehilangan dua pemain itu sememangnya dirasai oleh penyokong skuad Jang sehingga ada yang mencadangkan agar Casagrande mengambil posisi tersebut dan sekali gus mengemudi jentera Negeri Sembilan.
Setakat ini, skuad di bawah kendalian K.Devan itu hanya memiliki tiga pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini dan mereka adalah Levy Clemen Madinda, Mark Herold Goulon serta Ezechiel Ndouasel.
2) Perak FC
Ketajaman Hadi Fayyadh di bahagian serangan masih gagal menambat hati penyokong. — Facebook/PerakFC
Pasukan yang berjaya dinaikkan pangkat ke Liga Super, Perak FC kini secara rasminya hanya memiliki tiga pemain import iaitu Sunday Afolabi, Luciano Guaycochea dan terbaharu tonggak dari Nigeria, Christian Obiozor.
Berdasarkan prestasi semasa perlawanan pramusim, skuad The Bos Gaurus (TBG) banyak menerima respons negatif terutamanya dari segi bahagian serangan dan rata-rata penyokong berpendapat Perak FC memerlukan seorang penyerang yang memiliki penyudah sempurna.
Mana tidaknya, skuad Perak FC banyak bergantung harap kepada penyerang muda negara, Hadi Fayyadh dan juga Obiozor namun kedua-duanya masih gagal memberi kepuasan kualiti sebagai seorang peledak.
Justeru itu, sekiranya Casagrande hadir ke dalam pasukan Perak, dia boleh menjadi taruhan utama Datuk Lim Teong Kim bagi memperkukuh bahagian serangan skuad Seladang pada musim ini.
3) Sabah FC
The Rhinos masih memerlukan seorang penyudah yang tajam. — Facebook/SabahFC
Sabah FC yang kini memiliki empat pemain import baharu difahamkan masih ingin menambah beberapa lagi tonggak luar negara bagi membantu skuad The Rhinos mempamerkan kekuatan pada musim 2023.
Empat tonggak import itu adalah bekas pemain Gremio Esportivo Brasil, Gabriel Peres; bekas pemain kelab IBV di liga Iceland, Telmo Castanheira; bekas pemain import Kelantan yang berasal dari Nigeria, Jacob Njoku dan Jailton Paraiba kelahiran Brazil.
Meskipun sudah memiliki barisan import itu, Sabah FC masih memerlukan seorang peledak untuk menjadi penjaring harapan mereka dan sekali gus mudah untuk menembusi gawang lawan.
Dengan hanya meletakkan harapan besar kepada Darren Lok dan Njoku sebagai penjaring utama dilihat sukar untuk meletakkan Sabah di puncak liga.
Justeru itu, figura seperti Casagrande akan bijak menggunakan kelebihan fizikalnya pasti akan mampu untuk menjadi ancaman buat pihak lawan sama ada perlawanan liga domestik mahupun Piala AFC nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram