Bercanggah pendapat dengan Bos Zam, TRW diminta jangan yakin menang berdepan skuad M3


  • Podium
  • Ahad, 19 Feb 2023

Skuad TRW juga mengadakan karnival TRW Day 2023 pada Ahad. — Facebook/TRW

KELANTAN FC masih meneruskan perlawanan pramusim di saat-saat akhir sebelum liga bermula apabila dilaporkan skuad The Red Warriors (TRW) akan membuat perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga M3, PIB FC.

Perlawanan menentang bekas juara Liga M3 2022 itu akan menjadi medan terbaik buat pengendali Kelantan, Choi Moon-sik untuk menyenaraikan kesebelasan utama skuad TRW bagi saingan musim 2023.

Selain misi untuk mencari pemain utama skuad TRW musim ini, pasukan berpangkalan di Pantai Timur juga pastinya berharap akan menang mudah di tangan pasukan Liga M3 berkenaan.

Hasrat untuk melihat pasukan Kelantan menang itu juga disampaikan sendiri oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menerusi laman Facebook peribadinya.

"Esok kalau kalah lawan M3 memang saya tidak akan terima. Walau persahabatan sekalipun. Seri pun tidak boleh," tulisnya.

PIB FC

Skuad PIB FC memenangi Liga M3 pada musim lepas. — Facebook/TRW

Kenyataan daripada pemilik Kelantan itu bagaimanapun tidak mendapat respons positif daripada penyokong berikutan mereka berpendapat skuad TRW tidak boleh memandang enteng pasukan Liga M3.

Mana tidaknya, beberapa pemain PIB FC merupakan bekas tonggak Kelantan FC pada musim lalu iaitu arikitek tengah Jasmir Mehat; pemain pertahanan, Osman Yusof dan Shahrul Ighwan.

"Pasukan PIB FC bukan calang-calang pada musim 2023, ada beberapa bekas pemain kelantan FC di situ.., semua pemain TRW tak boleh pandang rendah pada pasukan lawan, malam esok Bos Zam kena turun padang bagi semangat dekat pemain," komen penyokong TRW, Wan Qusyairie.

"PIB FC bukan calang-calang pasukan Bos Zam, walaupun main M3. Tidak boleh pandang rendah itu," kata seorang lagi penyokong, Ahmad Hafiy Hayydan.

"Kalau tengok barisan pemain PIB itu ramai pemain hebat Liga Super yang tidak dapat tawaran dari pasukan Liga Super itu Bos Zam. Menang tipis pun okaylah," komen penyokong Zali Piya.

Perlawanan yang bakal diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan itu bukan sahaja diisi dengan aksi pramusim malah skuad TRW juga mengadakan karnival TRW Day 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram