Rakan senegara punca tonggak FC Seoul pilih hijrah ke Sabah FC


  • Podium
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Kwang-min akan memperkuatkan lagi jentera pertahanan Sabah FC musim ini. — Agensi

BARU-BARU ini kecoh dalam kalangan penyokong Sabah FC mengenai kemasukan seorang pemain import baharu yang dikatakan akan memperkukuhkan bahagian pertahanan The Rhinos pada musim ini.

Meskipun belum ada sebarang pengumuman rasmi dari pihak pengurusan Sabah FC mengenai perpindahan Ko Kwang-min dari FC Seoul ke Sang Badak namun media di Korea Selatan juga sudah mulai membuat pendedahan mengenai khabar angin tersebut.

Laporan media Korea Selatan, Naver menjelaskan bahawa tiada yuran perpindahan dikenakan atas penghijrahan tonggak berusia 34 tahun itu sebagai tanda menghargai jasa pemain legenda tersebut bersama FC Seoul.

WhatsApp Image 2023-02-17 at 19.50.43

Poster tanda penghargaan atas jasa Kwang-min kepada FC Seoul.

Menurut pengurus FC Seoul, Ahn Ik Soo, Sabah ada berhubung bertanyakan tentang Kwang-min pada awal bulan Februari dan kemudian secara rasmi mahu berunding untuk mendapatkan khidmatnya.

"Surat tersebut turut bertanyakan yuran perpindahan Kwang-min. Apabila dia meminta kebenaran untuk berpindah, kami tidak mempunyai pilihan.

"Ia bukan jumlah yang besar. Namun, saya tidak mahu mengambil bayaran untuk pemain yang sudah memberikan komitmen terbaik di kelab kami. Saya berharap pemain itu akan melakukan yang terbaik sehingga akhir di mana juga dia beraksi, " katanya.

Sejak penampilan sulungnya di Seoul pada 2011, Kwang-min tidak pernah berhijrah ke pasukan lain dan bermain sebanyak 246 perlawanan (187 K-League 1).

Namun jodoh tidak panjang bersama pasukan itu apabila sesi pramusim di Thailand antara Sabah FC dan FC Seoul menjadi titik tolak buat Kwang-min selepas membuat keputusan drastik untuk berhijrah ke Malaysia.

Kapten pasukan Sabah, Park Tae-Su juga difahamkan memainkan peranan besar dalam keputusan pemain pertahanan itu yang mana tonggak tengah Sang Badak itu cuba untuk mendapatkan maklumatnya lebih awal.

Termasuk Kwang-min, Sabah FC kini sudah mempunyai lima tonggak import iaitu bekas pemain Gremio Esportivo Brasil, Gabriel Peres; bekas pemain kelab IBV di liga Iceland, Telmo Castanheira; bekas pemain import Kelantan yang berasal dari Nigeria, Jacob Njoku dan Jailton Paraiba kelahiran Brazil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram