'Ex-captain' TFC hijrah ke Kelantan, boleh ke Bukit Jalil tapi fans bimbang satu perkara


  • Podium
  • Isnin, 20 Feb 2023

De Murga tampil dalam 17 perlawanan dalam liga pada musim 2021 bersama TFC. — Facebook/TFC

JENDELA perpindahan yang berakhir pada Isnin menjadi peluang terakhir buat pasukan Liga Malaysia yang bertanding musim ini untuk membawa masuk pemain baharu, sekali gus memuktamatkan senarai akhir pemain mereka.

Kelantan FC antara pasukan yang membuat rombakan besar-besaran nampaknya begitu serius untuk memberikan cabaran besar dalam saingan Liga Super dengan merekrut pemain berkualiti.

Menerusi perkongsian dari laman Facebook pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memberitahu bahawa seorang pemain baharu lagi akan menyertai skuad The Red Warriors (TRW) pada musim ini.

Pemain yang dimaksudkan ialah pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Carli De Murga dan difahamkan tonggak kebangsaan Filipina itu akan berstatus sebagai pemain rasmi Kelantan FC.

"Carli De Murga juga inshaALLAH akan bermain untuk TRW Kelantan FC," tulis Zamsaham pada Facebooknya.

MURGA

De Murga mulai menyarung jersi JDT pada musim 2022. — Facebook/JDT

Nama De Murga mungkin sehebat pemain pertahanan JDT lain seperti Corbin Ong ataupun Matthew Davies namun kecemerlangannya sewaktu bersama Terengganu FC (TFC) pada musim 2021 masih diingati penyokong.

Selain beraksi sebagai kereta kebal skuad Penyu, pemain berusia 34 tahun itu juga mendapat kepercayaan bekas pengendali TFC, Nafuzi Zain untuk menjadi ketua pasukan pada musim 2021.

Bersama Terengganu, bekas pemain kelab Thailand, Chonburi itu berjaya melakukan 17 penampilan liga pada musim 2021 untuk membantu kelab berpangkalan di Pantai Timur itu menduduki tangga keempat.

Meskipun De Murga membawa sinar baharu untuk pasukan Kelantan ke Bukit Jalil musim ini namun ada satu perkara yang menjadi kerisauan penyokong apabila Kelantan menandatangani pemain tersebut.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata penyokong Kelantan risau jika De Murga gagal menampilkan persembahan cemerlang berikutan dia sering dilanda dengan pelbagai masalah kecederaan.

"Cari De Murga itu hebat masa main di Terengganu dulu. Tapi masalahnya dia selalu cedera," komen penyokong TRW, sayur sayuran.

"Kata mereka dia ini kuat cedera," tambah seorang lagi penyokong TRW, Ariff Aripin.

Untuk rekod, De Murga pernah tidak disertakan dalam skuad Filipina bagi aksi Piala AFF Suzuki 2021 akibat masalah kecederaan.

Dalam pada itu, Norizam ataupun lebih dikenali sebagai Zamsaham berkongsi Kelantan juga akan membawa masuk dua lagi tonggak import baharu iaitu penyerang kelahiran Nigeria, Ismahil Akinade dan bekas pemain kebangsaan Australia yang belum didedahkan identitinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram