'Siapa tak mahu jadi juara', Norizam yakin Kelantan FC beri saingan sengit


  • Podium
  • Ahad, 19 Feb 2023

Kelantan FC memperkenalkan pemain dan melancarkan jersi Liga Super 2023 di pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV pada Ahad. — Bernama

KELANTAN FC lebih selesa sebagai pasukan ‘underdog’ pada saingan Liga Super walaupun mengeluarkan perbelanjaan besar mempersiapkan pasukan termasuk mengikat sembilan pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, skuad itu juga meletakkan sasaran untuk berada pada kedudukan 10 pasukan terbaik Liga Super musim ini.

"Musim ini Kelantan FC menggunakan kesemua kuota sembilan pemain import. Kita akan mengumumkan dua lagi pemain import bagi melengkapkan kuota pemain terbabit.

"Saya boleh pastikan pasukan sudah 99 peratus lengkap untuk sepak mula pada Sabtu nanti dengan 50 peratus khidmat muka baharu bersama pasukan musim ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Ahad.

KOTA BHARU, 19 Feb -- Presiden Kelab Team Red Warriors (TRW)  Kelantan FC, Norizam Tukiman menyampaikan ucapan pada perasmian Pelancaran Jersi dan Pengenalan para Pemain Pasukan Liga Super TRW Kelantan FC serta Barisan Jurulatih TRW Kelantan FC 2023 di Perkarangan Stadium Sultan Muhamad IV hari ini.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Norizam meletakkan sasaran untuk berada pada kedudukan 10 pasukan terbaik Liga Super musim ini. — Bernama

Pada musim ini, Kelantan FC akan menggunakan warna merah hitam sebagai jersi rasmi di tempat sendiri dan oren serta ungu sebagai jersi di tempat lawan.

Mengulas lanjut, Norizam berkata, bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia beliau meletakkan sasaran suku akhir.

"Kalau boleh mahu juara, siapa yang tidak mahu menjadi juara namun bagi saya kita sasarkan bersesuaian dengan keadaan kita (pasukan) pada masa ini.

"Saya yakin Kelantan akan menjadi antara pasukan yang memberi saingan sengit kepada pasukan lain musim ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kes ugutan bunuh terhadap salah seorang pemain import pasukan itu iaitu Christian Rontini, Norizam berkata, ia sudah selesai kerana pihak polis sudah mengenal pasti individu yang menghantar mesej tersebut.

"Saya rasa kita serahkan kepada pihak berwajib untuk sebarang tindakan susulan berhubung dengan tindakan individu terbabit.

"Selepas pendedahan kes itu, Rontini mendapat banyak mesej sokongan daripada penyokong Kelantan FC yang menyatakan rasa sayang mereka kepada pemain ini," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram