KEBANGKITAN menakjubkan Johor Darul Takzim (JDT) memberikan pelbagai kelebihan buat landskap bola sepak tanah air untuk terus berkembang.
Antara faedah yang dapat dirasakan adalah apabila ranking Liga Super meningkat saban tahun, sekali gus memberi peluang buat kelab-kelab lain beraksi di pentas Asia.
Pada 2023 sahaja, dua kelab iaitu Terengganu FC dan Sabah FC bakal berentap dalam saingan Piala AFC sementara JDT layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-juara AFC (ACL).
Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong bola sepak tempatan berpendapat kebangkitan bersejarah skuad Harimau Selatan perlu diberikan pujian.
Namun, seperti kebiasaan, kejayaan yang dicatatkan sesebuah kelab pastinya membangkitkan perasaan cemburu dalam kalangan pihak lawan.
Antara pihak yang kerap menyuarakan perkara itu ialah penyokong Selangor FC apabila mereka berpendapat pencapaian tersebut berpunca daripada hasil titik peluh mereka.
Ini kerana pasukan Selatan tanah air itu kerap mengambil tonggak pasukan mereka setiap kali jendela perpindahan untuk menguatkan lagi kualiti skuad.
Meskipun perkara tersebut tidak menyalahi sebarang undang-undang bola sepak, pendekatan diambil JDT seakan-akan sengaja dalam melemahkan Gergasi Merah.
Lebih teruk lagi, terdapat beberapa pemain yang dibawa masuk hanya untuk memanaskan bangku simpanan sehingga menjejaskan prestasi mereka di atas padang.
Walaupun terdapat ramai yang mengambil tindakan demikian, tiga nama tersebut memberi bayangan gelap buat penyokong Selangor FC apabila bakat mereka sepertinya disia-siakan.
1. Hazwan Bakri
Kejayaan Selangor FC untuk membawa pulang Piala Malaysia pada 2015 mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara kelab dengan sejarah tersendiri.
Bagi penyokong, kenangan manis tersebut adalah berpunca daripada sumbangan penyerang kelahiran Labuan, Sabah yang berjaya menjaringkan dua gol dalam peringkat akhir bertemu Kedah FA.
Kegembiraan tersebut bagaimanapun hanyalah sementara apabila pada Disember 2016, Hazwan memilih untuk meninggalkan pasukan untuk menyertai JDT.
Meskipun perpindahan tersebut dilaporkan memberi keuntungan besar buat Selangor FC, mereka seakan-akan tempang selepas kehilangan penyerang itu.
Hazwan pernah dilabel sebagai antara penyerang terbaik tempatan bersama Selangor FC.
Kepantasan dan kemampuan Hazwan untuk menghidu peluang di hadapan pintu gol menjadikannya sebagai antara penyerang terbaik Liga Super.
Namun, cita-citanya untuk terus berkembang bersama skuad Harimau Selatan tidak kesampaian apabila mereka lebih tertarik untuk menggunakan khidmat pemain import.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan laman sesawang transfermarkt, pemain berusia 31 tahun itu hanya menjaringkan 10 gol dalam 63 penampilan.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong Gergasi Merah seolah-olah masih kurang senang dengan perpindahan Hazwan ke Selatan tanah air itu.
2. Nazmi Faiz Mansor
Sebelum berita mengenai perpindahan Hazwan ke JDT, mereka terlebih dahulu menyambar khidmat pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor pada November 2016.
Kemampuannya untuk menjaringkan gol dari luar kotak sudah cukup untuk menarik pihak pengurusan Harimau Selatan bagi melakukan pelaburan.
Selain itu, pengalaman yang pernah diraih ketika menyertai kelab Portugal, Beira-Mar lebih menaikkan lagi minat kelab berasal dari Selatan berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, prestasi memberangsangkannya bersama skuad remaja kebangsaan memberi bayangan mengenai bakat dan potensi yang terpendam.
Nazmi mengembangkan bakatnya selepas dibawa ke dalam skuad senior Selangor FC.
Namun, meskipun masih berjaya menjadi antara tonggak pasukan, kekurangan minit permainan menyaksikan sentuhannya semakin malap.
Perkara itu dilihat berpunca daripada limpahan pemain import di posisi seperti Nazmi yang juga mahir melakukan jaringan di samping merencanakan gerakan pasukan.
Misalnya, pada 2022, pemain yang kini berusia 28 tahun itu hanya diberikan sembilan penampilan bersama kesebelasan utama dalam kancah Liga Super.
Peluang yang terhad itu sekali gus menyebabkan Nazmi semakin tumpul di hadapan pintu gol lawan apabila hanya satu bantuan jaringan berjaya dicipta.
3. Syahmi Safari
Pada 2022, JDT sedang dalam usaha mencari pengganti buat Matt Davies yang terlalu dihujani bebanan untuk beraksi sebagai bek kanan dalam setiap perlawanan.
Jadi, dalam merealisasikan cita-cita tersebut, tumpuan mereka diberikan terhadap pemain yang ketika itu berusia 24 tahun, Syahmi Safari.
Pemain yang boleh dilabel sebagai graduan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Selangor itu berjaya mencuri perhatian ramai selepas muncul sebagai antara bakat muda terbaik Liga Super.
Lebih menarik lagi, kehebatan Syahmi yang menjaringkan gol jarak jauh ketika berdepan Thailand dalam aksi Piala AFF 2018 sudah cukup untuk melabelnya sebagai antara pertahanan muda terbaik.
Jaringan cantik Syahmi Safari ketika berdepan Thailand. — Facebook/Media Selangor
Oleh itu, pada Januari 2022, pemain kelahiran Kuala Selangor itu sah menyertai skuad Harimau Selatan selepas enggan menyambung kontrak.
Meskipun masih diberi kepercayaan dalam beberapa perlawanan, kedudukan Davies sukar untuk digugat apabila dia bijak membaca gerakan pihak lawan.
Sejak menyertai JDT, pemain pertahanan itu hanya berjaya mengutip 219 minit aksi di atas padang dalam saingan Liga Super musim lepas.
Tetapi, dengan usianya baru sahaja mencecah 25 tahun, masih terdapat kemungkinan bahawa ketua jurulatih JDT, Esteban Solari akan memilih untuk menurunkannya dengan lebih kerap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,