KELAB Johor Darul Takzim (JDT) memulakan musim baharu 2023 dengan keazaman untuk terus melakar sejarah gemilang dalam kancah bola sepak tempatan.
Juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu sentiasa memiliki agenda baharu setiap musim.
Bahkan, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sudah beberapa kali menghantar 'isyarat' bahawa kelab itu akan melaksanakan projek baharu untuk kelab Harimau Selatan musim ini.
Sebelum ini, TMJ seolah-olah memberi bayangan mungkin akan memasukkan salah seorang pemain prolifik JDT, Syamer Kutty Abba dalam projek terbaharu berkenaan.
Syamer giat menjalani latihan kecergasan di pusat latihan JDT. — Facebook
Syamer yang baru pulih daripada kecederaan lutut kini giat menjalani latihan bagi mendapatkan kecergasannya semula.
Malah pemain tengah Harimau Selatan itu dilihat kembali mendapatkan momentum di atas padang selepas turun beraksi bersama pemain lain.
Syamer menerusi entri terbaharu di Instagram rasmi pada Sabtu memuat naik fotonya menjalani latihan kecergasan di pusat latihan JDT.
"Alhamdulillah, selepas 212 hari menempuh kesukaran dan bekerja keras untuk mendapatkan semula kecergasan, hari ini saya kembali di atas padang.
Tangkap layar hantaran Syamer yang mendapat balasan komen daripada TMJ. — Instagram
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada TMJ dan JDT kerana menyediakan penjagaan terbaik untuk kecederaan yang dialami. Terima kasih kepada barisan kejurulatihan, rakan sepasukan, ahli fisio khususnya Luis Vita, keluarga dan rakan-rakan yang bersama saya sepanjang perjalanan ini.
"Kini tiba masanya saya menambah baik prestasi dan menjadi pemain lebih baik," katanya dengan menyertakan tanda pagar #acljourney #mamba dan #johorsoutherntigers.
Hantaran itu mendapat balasan komen daripada TMJ yang mengingatkan Syamer tentang projek baharu JDT.
"Remember what I told you. New project (Ingat apa yang saya katakan sebelum ini. Projek baharu)," tulisnya.
Selain TMJ, pembantu jurulatih JDT, Ramiro Gonzalez turut meninggalkan komen, "The Black Mamba is back."
Ketiadaan Syamer dalam skuad Harimau Malaya amat dirasai.
Ada kemungkinan projek baharu TMJ itu ada kaitkan dengan pertemuan baginda dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada Sabtu.
Ini kerana ada cakap-cakap mengatakan dua figura berpengaruh itu mungkin meminta izin TMJ untuk menggunakan pemain JDT menjelang aksi persahabatan skuad kebangsaan.
Ketiadaan Syamer sepanjang rawatan kecederaannya begitu dirasai Harimau Malaya kerana pemain itu merupakan tonggak utama di posisi tengah dan tengah bertahan (DMF).
Justeru, kemungkinan projek baharu TMJ itu merujuk kepada penyertaan semula Syamer dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Piala Asia 2023.
Ada kemungkinan Syamer diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai kapten JDT. — Facebook
Ada juga yang mengaitkan projek baharu itu dengan peranan Syamer dalam pasukan JDT sendiri yang mana pemain berusia 25 tahun itu mungkin diberi peranan sebagai kapten pasukan.
Ketika ini, kapten JDT digalas oleh penjaga gol utama, Farizal Marlias, Aidil Zafuan dan Natxo Insa yang mana-mana ketiga-tiga pemain senior itu sudah agak berusia untuk beraksi atas padang.
Selain peranan sebagai kapten, projek baharu itu mungkin merujuk perubahan posisi pemain tengah tersebut.
Begitupun, sebagai tonggak tengah yang masih muda dalam skuad Harimau Selatan, Syamer tidak menerima saingan sengit daripada pemain tengah lain iaitu Danial Amier, Nazmi Faiz, Natxo Insa dan Safiq Rahim.
Syamer menjalani latihan pramusim di Dubai bersama rakan sepasukan lain. — Facebook
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu dilihat tetap bakal menjadi calon kegemaran Estaban Solari untuk membarisi kesebelasan utama JDT di saingan Liga Super kelak.
Adapun khabar angin mengaitkan projek baharu itu dengan potensi Syamer diserap sebagai jurulatih, namun pada usia 25 tahun itu, Syamer berada di kemuncak kerjaya sebagai pemain bola.
Perjalanan untuk mendapatkan lesen menjadi jurulatih dilihat masih panjang buat pemain berketinggian 1.85 meter itu.
Apapun projek baharu yang menunggu pemain berbakat itu, sama-sama kita nanti pengumuman rasmi daripada TMJ dan JDT sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram