Jentera 'in the making', Nafuzi bakal lahirkan 2 penyerang sensasi di Kedah


  • Podium
  • Ahad, 12 Feb 2023

Nafuzi Zain dijangka bakal melahirkan gandingan duo mantap di posisi serangan pasukan Kedah pada musim 2023. — Facebook/KDAFC

PASUKAN Kedah FC ketika ini sedang sibuk menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan di Turkiye selama seminggu bagi mempersiapkan skuad terbaik menjelang saingan musim 2023.

Peluang itu dilihat sebagai medan berguna buat pengendali pasukan, Nafuzi Zain yang semestinya mahu menguji setiap daripada pemain yang dibawa masuk pada musim ini.

Tumpuan peminat semestinya terarah kepada posisi penyerang import baharu yang menjadi sandaran utama penyokong skuad Hijau Kuning.

Sebelum ini, Kedah pernah memiliki dua penyerang import yang boleh dikategorikan sebagai tonggak emas menerusi gandingan mantap Kpah Sherman dan Tchetche Kipre yang banyak menyumbang kepada kemenangan skuad itu pada musim 2021.

Meskipun kehilangan kedua-dua pemain berkenaan yang telah pun berhijrah ke pasukan lain, sandaran penyokong kini tertumpu kepada dua lagi muka baharu yang dilihat seperti jelmaan bekas gandingan import itu.

Dua pemain yang dimaksudkan adalah Willian Lira dan Jonathan Balotelli dengan kemasukan import itu pada musim ini dilihat sudah mula mempamerkan taring dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.

created by InCollage

Willian Lira

Kelibat penyerang baharu Kedah iaitu Willian Lira sentiasa mencuri tumpuan sepanjang aksi persahabatan yang diadakan dengan tirai jaringan peribadi pemain itu mula terhasil dalam persahabatan menentang Kelantan FC sebelum ini.

Walaupun pertama kali beraksi di Malaysia, Lira jelas tidak kekok untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan sekali gus mencuri tumpuan penyokong menerusi gerakan lincahnya di hadapan pintu gol.

Untuk aksi persahabatan menentang Kelantan, pemain berusia 29 tahun itu tampil dengan skil yang sangat mengagumkan selepas berjaya meledak dua jaringan dan membantu skuad Sang Kenari meraih kemenangan di laman sendiri.

Terbaharu, Lira sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring tunggal dalam perlawanan menentang Nasaf FC pada aksi jelajah pra musim di Antalya, Turkiye.

balo

Jonathan Balotelli

Balotelli diturunkan pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Harapan yang menyaksikan beliau berjaya membantu Kedah membenam pasukan Geylang International FC dari Singapura dengan keputusan 2-1 termasuk melakukan satu bantuan gol.

Pemain berusia 33 tahun itu turut mencuri perhatian peminat menerusi kelajuan serta penguasaan bola yang baik sama seperti Lira.

Masih belum menjaringkan gol dalam aksi persahabatan di Turkiye setakat ini, namun persembahan serta komitmen tinggi dipamerkan penyerang kelahiran Brazil itu amat memuaskan dengan harapan penyokong ketika ini menjangkakan satu lagi gandingan duo mantap bakal terbentuk di Kedah.

Justeru, Nafuzi sekali lagi dijangka melahirkan pemain berkualiti di negeri Darul Aman dengan sandaran utama diletakkan terhadap kedua-dua pemain berkenaan sebagai tonggak pasukan musim ini.

Malah, tidak keterlaluan sekiranya penyokong sudah mula membayangkan kehangatan serta sorakan gemuruh yang bakal dilaungkan terhadap kedua pemain itu menjelang aksi pembukaan nanti.

Namun, segalanya akan terjawab tidak lama lagi dengan segala perancangan pasti sedang diatur sebaik mungkin oleh barisan kejurulatihan Kedah bagi merampas kejuaraan dari pasukan Johor Darul Takzim (JDT). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram