BAGI melakar namanya sendiri dalam industri bola sepak tanah air, pemain tengah Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Ahmad Haziq Kutty Abba akan menjadikan abang kandungnya, Syamer Kutty Abba sebagai inspirasi.
Haziq adalah salah seorang daripada 19 pemain baharu dalam skuad 25 pemain yang dipilih untuk ke kem latihan berpusat selama enam hari di ibu pejabat FAM di Kelana Jaya, Selangor.
Jurulatih E. Elavarasan akan menilai mereka dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum pemain dipilih untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA di Kemboja.
Acara bola sepak dwitahunan itu akan bermula dari 29 April hingga 15 Mei nanti.
Pemain berusia 19 tahun itu menyedari ramai yang membandingkannya dengan abangnya lagi-lagi apabila Syamer kini bermain bersama juara Liga Super sembilan kali, Johor Darul Takzim (JDT).
Namun, daripada memikirkan mengenai perkara itu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu berhasrat untuk kekal fokus menjelang perjalanan yang sukar.
“Sememangnya, orang menjangkakan saya boleh mencontohi abang saya atau melakukan lebih baik lagi.
“Saya dan Syamer berbeza. Kita ada bakat dan kebolehan kita sendiri. Tetapi kami berdua mempunyai matlamat yang sama... untuk bermain dan membawa nama Malaysia. Dia telah melakukannya dan saya mahu mengikut jejaknya," kongsinya.
Haziq menjadikan abangnya, Syamer sebagai inspirasinya untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya.
Syamer merupakan sebahagian daripada pasukan yang memenangi pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018.
Haziq, yang akan beraksi bersama Pulau Pinang II sebagai penyerang dalam Liga Simpanan musim ini, berkata, dia bersedia untuk belajar sebanyak mungkin ketika bersama pasukan kebangsaan.
“Peralihan berbeza daripada skuad remaja kepada B-23, tetapi jurulatih saya di Pulau Pinang (Akmal Rizal Rakhli) telah banyak membantu saya dari segi menyesuaikan diri dengan rentak permainan.
“Kini, di bawah jurulatih Elavarasan, saya berharap untuk belajar lebih banyak dan menonjolkan diri dalam pasukan, bekerja keras dan menyesuaikan diri dengan dengan cepat," tambahnya.
Skuad B-23 juga akan mengadakan satu perlawanan persahabatan tertutup pada kem latihan pusat kali ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,