KEGIGIHAN seorang ayah dalam memenuhi hasrat anaknya untuk mengikuti pencarian bakat bola sepak sememangnya meletuskan inspirasi dalam kalangan masyarakat.
Maxstanly Juin, 12, atau lebih dikenali sebagai Hafiz yang berasal dari Kampung Marais Lama, Tenom, Sabah menjadi perhatian ramai apabila dia hanya memakai but getah berharga RM9 ketika menghadiri satu program pencarian bakat bola sepak daerah Tenom dengan kerjasama Akademi Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) yang diadakan di padang bola Kampung Skim Kuala Tomani, Tenom, Sabah baru-baru ini.
Walaupun hanya memakai but getah yang dibeli oleh ayahnya, ia tidak mempengaruhi psikologi Hafiz untuk beraksi cemerlang sepanjang program tersebut.
Dalam satu sesi temu bual, Hafiz mengatakan dia gembira dan terkejut kerana malam sebelum program itu berlangsung, ayahnya telah membawa pulang sepasang but getah.
But getah yang dibelikan ayahnya.
Meskipun sumber pendapatan bapanya bergantung kepada hasil menoreh getah, dia masih mahu mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk anaknya itu amat menyentuh hati.
"Saya steady saja pakai but getah itu," kata Hafiz kepada Majoriti.
Ini kerana, pada pandangannya, kemahiran ketika bermain bola yang perlu ditunjukkan bukan kualiti but itu semata-mata.
Ditanya mengenai perasaan jika mendapat tempat di Akademi JDT, Hafiz mengatakan dia bersedia untuk tinggal berjauhan dengan keluarga dan harus semangat demi mengubah nasib keluarganya itu.
Hafiz yang juga mengidolakan pemain sayap Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi kini tersenarai dalam pencarian bakat tersebut bersama-sama dengan 15 rakan lain yang terpilih untuk ke Johor.
Lebih menarik lagi, pencarian bakat di Tenom itu adalah penentuan sebelum dia pergi ke pemilihan terakhir di Johor nanti. Jika dia melepasi pemilihan di Johor, dia akan diterima di Akademi JDT.
Hafiz ketika berjumpa dengan wakil pencari bakat JDT.
Tambahan pula, but getah itu akan disimpan dan dijadikan kenangan agar apabila sudah berjaya nanti, menjadi bukti inspirasi dirinya.
Dalam pada itu, jurulatih Hafiz yang hanya mahu dikenali sebagai Jabdi, berkata, selain bersukan, Hafiz turut membantu bapanya menoreh getah dan mengambil upah menanam pisang dari orang kampung.
"Bapa dia penoreh getah dan perlu mencari rezeki untuk menjaga mereka dua beradik yang mana kakak Hafiz juga Orang Kelainan Upaya (OKU).
"Scouting Akademi Bola Sepak JDT tertarik dengan bakat yang ditunjukkan oleh pasukan Sabah FC Junior ketika perlawanan berlangsung di Kejohanan Remaja La Liga 2022, Pulau Pinang," katamya kepada Majoriti.
Hafiz ketika menerima dua pasang but bola dari Riduan (kanan).
Difahamkan, pencari bakat Akademi JDT berasakan pemain muda yang berasal dari Sabah sememangnya perlu diberi perhatian serta peluang.
Jabdi yang juga pengendali kelab Sumaki Junior FC itu berkata, prestasi Hafiz ketika dalam sesi latihan sangat baik dan yakin anak buahnya itu akan menjadi pemain bola yang terkenal pada masa depan kerana bakatnya yang semula jadi.
Kini Hafiz mempunyai empat pasang but bola sepak yang dihadiahkan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin dan aktivis sosial, Adrian Edy. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram