Omong kosong, ingatkan 3 calon 'pemain warisan', rupanya langsung tiada pertalian darah dengan Malaysia


  • Podium
  • Isnin, 13 Feb 2023

De Paula (tengah) bermain di Malaysia selama lima tahun untuk menyarung jersi Harimau Malaya. — Facebook/FAM

LAMBAKAN pemain warisan atau berdarah kacukan ternyata memberikan nilai tambah buat skuad kebangsaan apabila dapat dilihat dengan prestasi Harimau Malaya.

Kehadiran pemain warisan seperti Dion Cools, Brendan Gan, Corbin Ong, Matthew Davies, Stuart Wilkin dan ramai lagi ternyata memberikan impak segera buat skuad kendalian Kim Pan-gon.

Kejayaan yang dirasai pemain warisan bersama Harimau Malaya turut pernah dicemburui oleh pemain naturalisasi kebangsaan sebelum sah bergelar rakyat Malaysia pada 2022.

Namun masihkah anda ingat, dalam kerancakan kehadiran pemain-pemain warisan ke dalam Liga Malaysia mahupun skuad kebangsaan, tiga pemain ini pernah memberi harapan penyokong bola sepak tempatan apabila dikaitkan berdarah Malaysia meskipun sebenarnya tiada susur-galur dari negara ini.

Bruno Nazario (kiri) kini satu pasukan bersama bekas bintang JDT, Maurício (kanan). Agensi

1. Bruno Nazario (Brazil)

Hancur hati seluruh penyokong bola sepak Malaysia apabila Bruno Nazario menafikan dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Bekas pemain tengah Botafogo FC, Bruno Nazario tidak terkecuali daripada tergolong dalam senarai pemain-pemain yang dikatakan berminat untuk menyarung jersi skuad negara selepas dia dikatakan mempunyai pertalian darah Malaysia.

Pada 2020, Bruno menafikan status hubungannya dengan Malaysia dalam satu temu bual bersama Botafogo TV, ketika ditanya sama ada dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, Bruno tidak dapat memberikan jawapan jelas mengenai perkara itu.

Keluarga serta kenalan rapat Bruno turut menafikan sama sekali bahawa pemain berusia 28 tahun itu mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Pemain tengah ini pernah beraksi bersama TSG Hoffenheim di Jerman dan beberapa kelab ternama di Brazil seperti Cruzeiro, Athletico-PR, Botafogo dan lain-lain lagi.

Kini Bruno satu pasukan bersama bekas bintang Johor Darul Takzim (JDT), Maurício di Chapecoense dalam liga divisyen kedua Brazil.

Jika Bruno Nazario mahu beraksi bersama Malaysia, maka dia perlu melalui proses seperti Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi iaitu dengan bermain di Malaysia selama lima tahun bagi mendapatkan status sebagai pemain naturalisasi.

Verthomy Boboy sertai skuad remaja Schalke 04. Agensi

2. Verthomy Schilo Boboy (Jerman)

Pemain berketinggian 1.90 meter, Verthomy Boboy pernah dikaitkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya apabila ada dakwan menyatakan dia mempunyai pertalian darah dengan negara ini.

Menurut Football Agent - Malaysia di Facebook pada 2020, Verthomy Boboy ialah pemain berdarah kacukan yang sedang beraksi di liga remaja Jerman.

"Verthomy Boboy merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman yang beraksi bersama VFL Bochum dalam saingan 'Bundesliga West U17," katanya.

Namun @Marco Negeri di Twitter menjelaskan situasi sebenar pemain tersebut dengan menyatakan dia sudah periksa latar belakang Verthomy Boboy dengan negara ini.

"Selepas mendapat pelabagai pertanyaan dan telah menyemak dengan kelabnya di Jerman, saya boleh mengesahkan bahawa Verthomy Schilo Boboy tidak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia tetapi berketurunan Jerman dari Congo," ujarnya.

Verthomy Boboy ialah seorang pertahanan muda yang berpotensi tinggi untuk menjadi pemain berkaliber.

Pemain berusia 19 tahun itu, pada musim ini menyertai skuad remaja Schalke 04 dan beraksi di Liga Divisyen Keempat Jerman.

Sebelum ini Verthomy Boboy beraksi bersama skuad remaja SC Fortuna Köln dan VfL Bochum sebelum berpindah dan menyertai Schalke 04.

Musim ini, Kalonda masih beraksi di Liga Zambia dengan mewakili Kabwe Warriors. Agensi

3. Marcel Kalonda (Congo)

Marcel Kalonda mula menjadi perbualan penyokong tanah air selepas diletakkan sebagai pemain dari Malaysia dalam permainan Football Manager 2020.

Pemain berusia 24 tahun yang dikaitkan mempunyai darah keturunan Malaysia pernah berada di bawah radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kalonda pernah mengesahkan bahawa datuknya berasal dari Sabah dan pernah berkunjung ke sana ketika kecil.

FAM turut pernah menerima dokumen seperti sijil kelahiran, sijil perkahwinan ibu bapa dan pasport milik pemain berusia 24 tahun itu.

Namun, FAM telah mengesahkan pihaknya tidak akan memproses permohonan Kalonda yang kononnya berdarah kacukan Malaysia menerusi bapa dan datuknya untuk mewakili skuad Harimau Malaya.

Keputusan itu dibuat selepas semakan dan siasatan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapatkan satu daripada dokumen yang telah dihantar oleh pemain kelahiran Repulik Congo itu didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

FAM turut memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara.

Kini pemain berketinggian 1.88 meter itu masih beraksi di Liga Zambia dengan mewakili Kabwe Warriors. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram