Mat Don-TFC tengah bincang sampai jadi, ramai khuatir jejas ‘gameplay’ Sang Penyu


  • Podium
  • Ahad, 12 Feb 2023

Liridon dikhabarkan akan menyarung jersi Terengganu FC musim ini selepas dia dirakam bersama skuad Sang Penyu di Bangkok, Thailand. — Facebook

DESAS-DESUS mengatakan tonggak naturalisasi negara, Liridon Krasniqi akan menyertai Terengganu FC (TFC) musim ini heboh diperkatakan.

Khabar angin itu makin hangat diperkatakan selepas pemain tersebut dirakam memakai jersi Terengganu FC dan makan bersama pemain skuad Sang Penyu, Argzim Redzovic ketika program pramusim pasukan tersebut di Thailand, baru-baru ini.

Difahamkan, pemain kelahiran Kosovo berusia 31 itu selangkah kaki lagi untuk menyertai skuad Hitam Putih selepas perbincangan dengan pengurusan TFC Sdn Bhd dilaporkan sudah berada di fasa akhir.

Walaupun belum ada kata putus daripada kedua-dua belah pihak, namun Liridon hampir pasti menyarung jersi TFC memandangkan pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbrukner sedang mencari seorang pemain tengah menyerang.

"Ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi terutama berkaitan gaji dan kontrak Liridon, namun TFC tidak menafikan berminat untuk mendapatkan pemain tinggi lampai itu," kata sumber memetik laporan Berita Harian.

1935411

Liridon dikatakan sudah tidak lagi berada dalam perancangan JDT untuk musim 2023. — Facebook/JOHOR Southern Tiger

Para penyokong TFC berharap Liridon atau nama jolokannya, Mat Don dapat meneruskan momentum seperti aksinya bersama kelab Johor Darul Takzim (JDT).

"Main dengan JDT, corak permainan tak sesuai dengan Mat Don sebab dia suka delay permainan. Harap nanti masuk Terengganu tak ganggu kelancaran (gameplay) pemain lain," kata seorang penyokong, Strategi Automasi di Facebook.

Asyraf Azeez pula berharap Liridon dapat menampilkan persembahan sehebat seorang lagi naturalisasi negara, Lee Tuck yang kini beraksi di Kedah Darul Aman FC.

"Ibarat swap Lee Tuck naik dari Terengganu, Liridon dari Kedah. Cuma time ni, memang Lee Tuck power.

"Harap Liridon kalau masuk TFC kena perform macam di Kedah juga," katanya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan penyokong TFC meletakkan dua syarat kepada Liridon yang mengharapkan kehadirannya bukanlah sekadar untuk mengisi slot.

Mereka berharap kontrak pinjaman Liridon membolehkan pemain itu dapat diturunkan setiap kali perlawanan bersama JDT.

Selain itu, penyokong juga berharap, Liridon tidak memerlukan masa terlalu lama untuk memahami taktikal jurulatih dari Croatia itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram