Di sebalik kekalahan di Turkiye, ada 3 perkara positif dicatatkan penyokong KDA FC


  • Podium
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Fayadh (kanan) ketika diturunkan dalam aksi persahabatan berdepan Shakhter Karagandy. — Facebook/KDA FC

JELAJAH pramusim Kedah Darul Aman (KDA) FC diteruskan dengan aksi persahabatan berdepan kelab Kazakhstan, Shakhter Karagandy pada Jumaat.

Perlawanan yang berlangsung di Miracles Fields, Antalya itu menjadi medan percubaan buat barisan kejurulatihan untuk mengenal pasti kemampuan skuad ketika ini.

Ini kerana mereka memilih untuk menurunkan pemain yang jarang mendapat peluang dalam kesebelasan utama setiap kali aksi persahabatan berlangsung.

Bagaimanapun, keputusan itu sepertinya memakan diri apabila skuad Sang Kenari tewas dengan skor 0-2 selepas gagal menyekat serangan bertali arus daripada pihak lawan.

Tambahan pula, kualiti fizikal dan mental yang dimiliki pemain Shakhter Karagandy jelas berbeza meskipun KDA FC giat memperkukuhkan lagi pasukan mereka sepanjang jendela perpindahan.

Keputusan tersebut pastinya serba sedikit melunturkan semangat juang dalam kalangan penyokong Hijau Kuning selepas ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat pasukan kendalian Nafuzi Zain itu.

329383366_3470918819849470_4572508917964887808_n

Robertson merupakan antara pemain yang diturunkan ketika berdepan Shakhter Karagandy. Facebook/KDA FC

Namun, tinjauan di media sosial mendapati perasaan kecewa bukanlah apa yang diluahkan rata-rata peminat setia Sang Kenari, sebaliknya mereka berpuas hati dengan perlawanan tersebut.

Lebih menarik lagi, seorang penyokong setia KDA FC, Mahir Kedah berpendapat bahawa terdapat beberapa pulangan positif yang dapat dikenal pasti daripada pertembungan itu.

"Tiga perkara positif hasil daripada perlawanan ini. Yang pertama, Loqman (Hakim) boleh bermain dengan baik di posisi pertahanan kanan," katanya.

Bagi memperkukuhkan posisi tersebut, pihak pengurusan kelab Utara tanah air itu membawa masuk bekas pemain Melaka United FC, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman.

Namun, dia yang tidak diturunkan dalam aksi itu memberi ruang kepada Nafuzi untuk menjalankan ujian terhadap graduan akademi kelab, Loqman Hakim Marzuki.

Musim lepas, pemain berusia 25 tahun itu kerap disisihkan apabila dia hanya diturunkan sebanyak tujuh kali dalam saingan Liga Super.

Oleh itu, persembahan bertenaga ketika berdepan Shakhter Karagandy pastinya membuka mata pihak kejurulatihan untuk memberikannya minit permainan dengan lebih kerap.

330159917_904082324250099_4327751600797339477_n

Aksi cemerlang Balotelli (kanan) membolehkannya dipuji penyokong Hijau Kuning. Facebook/KDA FC

Selain itu, bagi Mahir Kedah lagi, dia juga berpendapat bahawa setiap pemain mempamerkan aksi terbaik, termasuk penyerang baharu mereka, Jonathan Balotelli.

"Perkara positif kedua yang saya nampak ialah Balotelli merupakan seorang penyerang yang mampu menggelecek bola dengan sangat baik.

"Yang ketiga pula, gaya permainan pada Jumaat menunjukkan mereka boleh beraksi dengan cukup pantas dan masing-masing sudah berada di tahap kecergasan yang terbaik," katanya.

Meskipun gagal menjaringkan sebarang gol, Balotelli dilihat cukup bertenaga dalam melakukan larian dan jarang melakukan kesilapan.

Oleh itu, ia pasti mengurangkan beban yang dipikul penyerang utama, Willian Lira daripada terlalu kerap untuk beraksi musim ini.

Sementara itu, dari segi kecergasan pemain pula, KDA FC dilihat berdepan masalah itu pada 2022 sehingga menyaksikan mereka gagal menguasai permainan.

Jadi, walaupun kekalahan yang dialami skuad Sang Kenari serba sedikit merencatkan pengalaman mereka di Turkiye, tiga perkara dibincangkan di atas pastinya turut diberi penekanan oleh pihak pengurusan.

Tambahan pula, dengan mereka sepertinya cukup ghairah untuk menambah baik pencapaian berbanding musim lepas, keputusan yang dicatatkan itu pastinya menyuntik semangat berbeza buat pemain dan staf kejurulatihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram