Undian Piala FA 2023 bakal ulangi skrip 2022?


  • Podium
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Musim lalu menyaksikan JDT berjaya meraih trofi Piala FA 2022.

PIALA FA musim 2023 menjanjikan persaingan yang cukup sengit seawal pusingan pertama apabila menyaksikan pertembungan empat pasukan Liga Super iaitu Perak FC menentang Sri Pahang FC dan aksi Derbi Utara antara Kedah Darul Aman (KDA) FC melawan Penang FC.

Dua lagi perlawanan peringkat pertama menyaksikan Manjung City FC akan bertemu Sains FC manakala BRM FC pula bakal menanti kunjungan Imigresen FC.

Undian kejohanan tersebut dilakukan oleh legenda bola sepak negara, Azman Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Football League, Stuart Ramalingam itu pada Jumaat.

Sementara itu, 10 lagi pasukan iaitu Johor Darul Takzim (JDT), Terengganu FC (TFC), Sabah FC, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, PDRM, Kelantan FC, Kelantan United dan Kuching City hanya akan beraksi pada pusingan kedua.

WhatsApp Image 2023-02-10 at 20.06.20

Keputusan undian Piala FA 2023.

Keputusan undian kejohanan bagi edisi ke-33 itu bagaimanapun dilihat sebagai laluan mudah buat pasukan finalis Piala FA 2022 iaitu skuad Harimau Selatan dan Terengganu.

Segelintir penyokong berpendapat bahawa berkemungkinan peminat bola sepak tanah air akan menyaksikan ulangan pentas akhir edisi lepas pada kejohanan Piala FA kali ini.

"Macam biasa JDT jumpa TFC di final. Pasukan lain sekadar pelengkap jadual sahaja," komen penyokong bola sepak tanah air, Ibnu Aman.

"Laluan Terengganu FC agak baik kali ini," kata seorang lagi penyokong, Revolusi Terengganu FC.

"Terengganu nampak santai, hanya Sabah nampak mencabar. Tapi hanya sekadar andaian. Apa-apa boleh berlaku. Goodluck semua pasukan," kata seorang lagi penyokong, Ahmad Faiz.

Andaian tersebut mulai timbul selepas Terengganu FC diundi akan bertemu Melaka FC pada pusingan pertama, manakala JDT pula menentang PDRM FC di pusingan kedua selepas skuad The Cops itu meraih 'bye' dalam undian yang dilakukan pada Selasa.

Skuad Harimau Selatan muncul juara musim lalu selepas berjaya menewaskan Terengganu 3-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram