Anak jati Johor pilih pulang ke Kelantan


  • Podium
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Shafiq dijangka memikul tanggungjawab besar bersama skuad TRW pada 2023.

NAIB juara Liga Perdana 2022, Kelantan FC meneruskan perbelanjaan mereka dalam jendela perpindahan dengan membawa masuk pemain kelahiran Johor, Shafiq Shaharudin.

Penyerang berusia 29 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama skuad The Red Warrior (TRW) pada 2019, namun gagal memberi impak seperti mana yang diharapkan.

Musim lepas, Shafiq memilih untuk menyambung kariernya di kelab Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Kuala Lumpur (KL) Rovers untuk mendapatkan semula rentaknya.

Ketika bersama pasukan Pantai Timur itu, dia pernah membantu mereka melangkah ke suku akhir Piala Malaysia pada 2018 dengan menjaringkan gol kemenangan ketika bertemu gergasi Liga Super, Kedah FA.

Bagaimanapun, selepas terlalu kerap disisihkan di bangku simpanan, Shafiq memilih untuk berkelana ke PKNS FC sebelum menyertai beberapa pasukan amatur serata Lembah Klang.

Kehadirannya itu dijangka akan menambah sengat di jentera serangan meskipun Kelantan FC ketika ini memiliki duo serangan berbisa, iaitu Nuha Marong dan Nurshamil Abd Ghani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram