Undian Piala FA janjikan aksi sengit seawal pusingan pertama


  • Podium
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Kejohanan edisi ke-32 itu disertai 14 pasukan Liga Malaysia dan enam pasukan amatur. — Facebook/MFL

UNDIAN Piala FA 2023 yang berlangsung pada Jumaat menyaksikan sebanyak 20 pasukan akan bersaing untuk kejohanan yang diadakan dalam edisi ke-32 itu.

Selain penyertaan daripada 14 pasukan Liga Super, sebanyak enam pasukan dari Liga M3 iaitu Imigresen FC,Kuala Kangsar BRM FC, Manjung City FC, Melaka FC, PIB Shah Alam FC dan Sains FC akan turut bersaing dalam kejohanan Piala FA kali ini.

Undian melibatkan kedudukan pasukan untuk pusingan pertama sahaja melibatkan 3 pasukan terbawah Liga Super musim 2022 (Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang FC) selain 3 pasukan terbawah Liga Perdana 2022 (Kelantan United FC, PDRM FC dan Perak FC) 6 pasukan Liga M3 bagi mencari empat slot ke pusingan 16.

Manakala, 6 kelab teratas dari Liga Super musim 2022 (Johor Darul Takzim, Terengganu FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC) bersama dua kelab teratas Liga Premier 2022 (Kelantan FC dan Kuching City FC), layak secara automatik ke pusingan 16.

Tiada undian bagi perlawanan pusingan 16 bagi enam kelab teratas Liga Super 2022 dan dua kelab teratas Liga Perdana yang layak secara automatik dengan laluan ke pusingan seterusnya berdasarkan kedudukan ‘seeding’ iaitu mengikut posisi liga musim lepas.

Majlis undian yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam dan pemain legenda tanah air, Azman Adnan, memperlihatkan beberapa pertembungan menarik dan sukar dijangka bakal berlaku.

Antara yang mencuri tumpuan adalah pertembungan antara juara lima kali Piala FA, KDA FC yang akan melakukan perhitungan lebih awal dengan melayan kunjungan Penang FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada pusingan pertama.

Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang dinantikan apabila Kedah yang kini dibimbing Nafuzi Zain bakal menerima tentangan sengit daripada anak-anak buah Manzoor Azwira yang dilihat begitu bersedia membentuk pemain terbaik musim ini.

Undian menarik lain menyaksikan skuad Perak FC dan Sri Pahang FC yang turut perlu mengharungi pusingan pertama musim ini.

Perak yang merupakan juara sulung Piala FA yang mula dipertandingkan pada musim 1990 pastinya ada misi tersendiri untuk cuba memberi kejutan kepada Sri Pahang yang kali terakhir menjuarai kejohanan pada tahun 2018.

Perlawanan pusingan pertama Piala FA bakal berlangsung 8 Mac dengan aksi final dijangka berlangsung pada 22 Julai 2023 di venue yang akan diputuskan MFL.

Setelah 31 edisi Piala FA dijalankan, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC muncul juara paling banyak iaitu sebanyak lima kali diikuti Sri Pahang serta Kuala Lumpur City iaitu tiga kali.

Manakala pasukan lain yang tidak ketinggalan menggapai kejuaraan ialah JDT, Perak FC, Kelantan FC, Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC yang telah memenanginya dua kali.

Sementara Sabah FC, Sarawak FC, Penang FC, Johor dan LionsXII, masing-masing pernah muncul juara sebanyak satu kali. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram