KDA FC akan refund, tapi mungkin tiada lagi live aksi selepas ini — Sumber


  • Podium
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Pihak pengurusan KDA FC berjanji bayaran balik akan dibuat bagi menyelesaikan isu penstriman aksi pramusim. — Facebook/KDA FC

SESI pemanas sepanjang kempen pramusim Kedah Darul Aman (KDA) FC di Turkiye turut diisi beberapa aksi persahabatan bersama kelab Eropah dan Asia Timur.

Ia dilihat salah satu usaha pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar yang bercita-cita hendak melebarkan sayap Sang Kenari dari segi kemampuan di atas dan di luar padang.

Hasrat tersebut seolah-olah berjaya dicapai apabila pemain dilihat mampu memperolehi lebih banyak pengalaman di samping mencipta keserasian bersama rekrut-rekrut baharu.

Bagi menilai prestasi masing-masing, pihak pengurusan KDA FC memilih untuk menguji perkembangan mereka dengan aksi bertemu kelab Uzbekistan, FC Nasaf.

Perlawanan yang diadakan di Kompleks Sukan S & B, Antalaya, Turkiye itu berakhir dengan kekalahan 1-2 buat skuad Sang Kenari walaupun mereka mendahului pada minit ke-50.

Namun, meskipun mereka gagal untuk mencatatkan kemenangan, rata-rata penyokong Hijau Kuning seperti berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Mereka berpendapat ia langkah berani bagi pasukan Utara tanah air itu untuk mengadakan aksi persahabatan bersama kelab dengan reputasi sebegitu.

Tidak cukup dengan itu, prestasi memberangsangkan daripada penyerang baharu, Willian Lira yang menjaringkan gol pembukaan juga wajar diberikan pujian menggunung dengan kemampuannya untuk menyesuaikan diri.

329657055_1857059421316966_3062374735301715790_n

KDA FC tewas di tangan FC Nasaf dalam perlawanan pramusim pertama di Turkiye. Facebook/KDA FC

Tetapi, di sebalik kepuasan yang dirasakan, terdapat juga beberapa isu yang timbul sehingga melunturkan semangat kepada pasukan yang cukup digemarinya itu.

Ia melibatkan kualiti penyiaran perlawanan dari negara itu meskipun pembayaran sudah dibuat pada awalnya.

Desakan demi desakan dilihat terus dibuat terhadap pihak pengurusan supaya perkara berkenaan tidak berulang setiap kali siaran secara langsung ditayangkan.

Namun, ketika diminta untuk memberi penjelasan lanjut, salah seorang sumber dalaman KDA FC berjanji bahawa bayaran balik akan dibuat terhadap pembeli pas tontonan itu.

"Yang mana tidak dapat akses kepada perlawanan itu, kami akan bayar balik kerana kami memang ada data kesemua pembeli tu," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, masalah tersebut tidaklah seteruk seperti yang digembar-gemburkan kerana siaran menerusi Facebook Live masih beroperasi dengan baik.

"Ada yang menggunakan Facebook (pay perview - PPV), memang tiada masalah. Cuma mereka yang membeli akses menggunakan laman sesawang, kami sudah mengumpulkan mereka setempat.

"Apabila kita mahu menyiarkan perlawanan itu secara langsung, ia tidak berjaya dan disekat kerana satu kaedah penstriman, satu saluran sahaja," katanya.

Selain itu, sumber tersebut juga berkata, terdapat usaha daripada pihak luar yang cuba mendapatkan penjelasan daripadanya, namun dia terbuka untuk memberi jawapan terbaik.

Selepas ini, KDA FC bakal berdepan kelab Liga Perdana Kazakhstan, FC Shakhter Karagandy pada Jumaat bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain untuk mendapatkan minit-minit permainan.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai sekiranya isu terbabit akan berulang, dia masih tidak dapat memberi jawapan lanjut kerana perlu mengenal pasti kemudahan di stadium itu sendiri.

"Kami mungkin tak buat untuk Facebook Live event tu. Jadi, kami akan cancel PPV itu dan kami akan bergantung kepada lokasi. Jika tak sesuai, kami tak akan buat kerana expectation penyokong tinggi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram