'Lagi rela Mat Don', bekas peledak diboikot kembali ke Darul Aman


  • Podium
  • Khamis, 09 Feb 2023

Keith sewaktu beraksi bersama pasukan Kedah. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC kini sedang sibuk melakukan siri jelajah pramusim di Antalya, Turkiye bermula 06 sehingga 15 Februari ini sebagai persiapan menghadapi kempen Liga Super musim 2023.

Pemilik saham terbesar skuad Hijau Kuning, Tan Sri Dr Daud Bakar mengharapkan agar pramusim di bumi Turkiye itu boleh menjadi ujian sebenar buat pemain sama ada dari segi pembentukan karakter, kemahiran, cara fikir dan minda pemain.

Sepanjang sesi pramusim itu, skuad di bawah kendalian Nafuzi Zain akan dijadual bertemu empat pasukan iaitu FC Nasaf dari Uzbekistan (9 Februari); FC Shakter Karaganda, FK Mataraal dari Kazakhstan (10 dan 12 Februari) dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine pada 14 Februari ini.

Meskipun skuad Sang Kenari sudah mengumumkan sebanyak tujuh pemain import namun pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu akan membawa masuk dua tonggak import baharu bagi melengkapkan kuota yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ada yang mengatakan bahawa slot tersebut akan diisi untuk bahagian serangan meskipun semua sedia maklum bahawa Kedah kini sudah mempunyai dua penyerang import iaitu Willian Lira dan Jonathan Balotelli.

Khabar angin terbaharu mengatakan bahawa Kedah akan membawa masuk bekas peledak skuad Hijau Kuning, Keith M Nah yang kini sedang berkelana di liga divisyen satu Thailand, Polis Tero FC.

Keith yang sebelum ini pernah menyarung jersi Kedah sekitar 2014-2015 difahamkan akan kembali ke bumi Darul Aman untuk memperkukuhkan jentera serangan pasukan Sang Kenari.

WhatsApp Image 2023-02-09 at 21.14.47

Keith pernah mendapat gelaran sebagai salah seorang pemain terbaik dalam Liga Kebangsaan Myanmar. — Facebook/KDAFC

Pemain kelahiran Liberia itu pernah merekodkan 36 jaringan gol dalam 42 perlawanan bersama liga saingan Myanmar, Yadanarbon dan ia merupakan rekod terbaik yang pernah dicatat Keith.

Bekas pemain Shan United FC itu terkenal dengan kemahirannya menggelecek, penyudah yang tajam dan kebolehan bermain dengan kedua-dua belah kaki.

Dengan kemahiran yang dimiliki Keith, dia pernah dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik dalam Liga Kebangsaan Myanmar.

Namun begitu, desas-desus mengaitkannya Keith ke Kedah kurang mendapat sambutan berikutan pengalaman pahit penyokong bersamanya sewaktu bersama Kedah dahulu.

"Kalau yang ini tidak payah lah. 2014-2015 pernah sudah main dengan Kedah. Tidak hebat mana pun," kata penyokong Kedah, Zizi.

"Nak Mat Don (Liridon Krasniqi)," kata penyokong, Muhd_nuqman yang lebih menginginkan pemain warisan Liridon berbanding Keith.

WhatsApp Image 2023-02-09 at 21.14.57

Keith hanya sempat menjaringkan tiga gol bersama Kedah. — Facebook/KDAFC

Dengan hanya merekodkan tiga jaringan sewaktu bersama Kedah dahulu, sudah cukup menjadi faktor utama penyokong menolak idea membawanya masuk sebagai pemain import musim ini.

Selepas kembali dari Turkiye, Kedah akan dijadual menentang Perak FC bagi aksi pembuka Liga Super musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram