Penghijrahan Mat Don ke Terengganu direstui, tapi penyokong letak 2 syarat


  • Podium
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Liridon dikatakan sudah tidak lagi berada dalam perancangan JDT untuk musim 2023. — Facebook/JOHOR Southern Tiger

DESAS-DESUS yang mengatakan perancang naturalisasi negara, Liridon Krasniqi bakal berhijrah secara kekal selepas tempoh pinjamannya tamat semakin hangat di media sosial.

Dia yang masih terikat bersama juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) menghabiskan hampir keselurahan musim lepas bersama kelab Thailand, Khon Kean United.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kosovo itu dilihat gagal memberi sebarang impak apabila dia terlalu kerap memanaskan bangku simpanan.

Malah, setiap kali diberi peluang untuk beraksi, Liridon yang juga dikenali sebagai 'Mat Don' itu kerap mensia-siakan minit-minit berharga.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan laman sesawang transfermarkt, dia hanya diturunkan sebanyak enam kali dan gagal melakukan sebarang sumbangan di hadapan pintu gol lawan.

Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat khabar angin bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan JDT yang juga sudah melakukan pelaburan di posisi berkenaan.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, pemain berketinggian 1.92m itu dikaitkan dengan perpindahan ke Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang sememangnya memerlukan seorang perancang tengah.

WhatsApp Image 2023-02-10 at 08.19.02

Liridon (tengah) dilihat bersama-sama dalam kem latihan Terengganu FC.

Namun, menerusi perkongisan lebih mendalam, Liridon dikatakan lebih berminat untuk menyertai skuad Sang Penyu.

Ini berdasarkan beberapa foto yang tersebar memaparkan dia bersama pasukan itu di kem latihan pramusim berpusat di Thailand.

Tinjauan di media sosial mendapati ura-ura itu diterima baik sebahagian besar penyokong yang pernah menyaksikan sentuhan berkualitinya ketika bersama KDA FC.

Selain itu, meskipun dia gagal memberi sebarang sumbangan, rombakan yang dilakukan naib juara Liga Super 2022 tersebut memberi ruang untuk mana-mana pemain berkembang.

Bagaimanapun, di sebalik komen yang mengalu-alukan kehadirannya itu, terselit juga pelbagai pandangan untuk memastikan kehadirannya bukanlah hanya untuk mengisi slot.

"Harapnya Liridon pergi ke Terengganu bukan dengan status pinjaman lagi. Sebab kalau bukan, bolehlah dia bermain dalam aksi piala nanti," kata Matahari Afgan.

Musim lalu, skuad Harimau Selatan kerap meminjamkan pemain seperti Stuart Wilkin ke Sabah FC sementara Syafiq Ahmad pula berkelana ke KDA FC.

Namun, terpalit sedikit kekecewaan apabila kontrak yang dipersetujui kedua-dua pihak menyaksikan mereka tidak dapat diturunkan dengan setiap kali perlawanan bersama JDT.

Jadi, pasti terdapat kegusaran dalam kalangan penyokong Terengganu FC sekiranya Liridon menjadi tonggak pasukan, tetapi tidak diberikan ruang untuk diturunkan dalam perlawanan besar.

Sementara itu, bagi Man Bundles pula, syarat yang diletakkan ke atas perpindahan itu dengan mengharapkan agar pemain tengah itu tidak memerlukan masa terlalu lama untuk memahami taktikal ketua jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner.

"Tidak mengapa, mungkin coach Tomi tahu mengenai pemain mana yang sesuai dengan taktikalnya. Kita bagi sahaja kepercayaan kerana sebelum ini dia cukup hebat ketika bersama KDA FC," katanya.

Liridon pernah digelar sebagai salah seorang import terbaik Liga Malaysia ketika bersama KDA FC, namun prestasinya mula merudum sejak berpindah ke JDT pada 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram