'Bisik-bisik ke itu?', Safawi ada kelab baharu lepas Ratchaburi FC


  • Podium
  • Khamis, 09 Feb 2023

Safawi sudah beraksi dalam tiga perlawanan bersama Ratchaburi FC. — Instagram/Safawi

KIRA-KIRA lagi dua minggu sebelum liga bermula, Selangor FC antara pasukan Liga Super giat terlibat dalam aksi perlawanan persahabatan sebagai persediaan memperkuatkan pasukan.

Sebelum ini, aksi persahabatan yang membabitkan skuad Gergasi Merah ialah saingan Piala Harapan 2023 antara Penang FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, dan Geylang International FC.

Dalam saingan Piala Harapan itu, Selangor yang mara ke peringkat akhir ditumbangkan oleh pasukan penganjur, Penang FC 1-2 di Stadium Negeri Batu Kawan.

Sejurus berakhir saingan Piala Harapan 2023, Selangor FC kini dalam siri Jelajah Pramusim di Thailand bagi menentang kelab Ratchaburi FC dan PT Prachuap yang bermula pada 5 hingga 10 Februari ini.

Kedua-dua pasukan Thailand itu diwakili oleh pemain kebangsaan, iaitu Safawi Rashid bersama Ratchaburi FC dan PT Prachuap yang dianggotai oleh Junior Eldstal.

Meskipun tiada laporan rasmi mengenai perlawanan pertama difahamkan menentang Ratchaburi pada Rabu namun penyokong mendakwa bahawa Selangor FC tewas 1-2 di tangan skuad The Dragons.

WhatsApp Image 2023-02-09 at 17.16.00

Safawi bersama Cheng Hoe.

Lebih menarik dalam lawatan Selangor ke Thailand itu, timbul khabar angin mengaitkan bahawa pasukan Lembah Klang itu merupakan destinasi terbaharu Safawi Rasid selepas tempoh pinjamannya selama semusim berakhir.

Desas-desus tersebut mulai hadir selepas Safawi dilihat bergambar bersama pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe dan pengurus pasukan Ratchaburi.

"Ada bisik-bisik ke itu," komen penyokong Gergasi Merah, Azi Nabil.

Perpindahan ke Selangor itu boleh berlaku berikutan sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk bersama pasukan yang benar-benar ingin menggunakan khidmatnya.

Oleh itu, Selangor dilihat pasukan yang sesuai buat Safawi terutamanya dia juga sebelum ini pernah berada di bawah kendalian Cheng Heo bersama skuad kebangsaan.

Untuk rekod, sejak sertai skuad The Dragons pada awal musim ini, pemain berusia 25 tahun itu sudah beraksi dalam tiga perlawanan dan dilihat dia sering mendapat kepercayaan jurulatih untuk mengetuai jentera serangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram