'Mat Don is otw', bakal sertai Sang Kenari di Turkiye atau melencong ke TFC?


  • Podium
  • Rabu, 08 Feb 2023

Ada penyokong KDA FC meneka Liridon mungkin dalam perjalanan menyertai kelab itu yang kini menjalani jelajah pramusim di Turkiye. — Instagram

DESTINASI pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi masih belum diketahui selepas pemain itu mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Liga 1 Thailand, Khon Kaen United.

Ada cakap-cakap mengatakan bahawa Liridon atau Mat Don sedia untuk kembali beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Terdapat perkhabaran mengaitkan pemain itu dengan majikan lama, Johor Darul Takzim (JDT), malah ada yang mengatakan dia bakal menyarung semula jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Desas-desus perpindahan Liridon kembali hangat selepas pemain berusia 31 tahun itu memuat naik entri baharu di Insta Story miliknya pada Rabu.

Hantaran ringkas itu berbentuk foto pesawat Emirates dengan kapsyen berbunyi, "Mat Don is on the way."

WhatsApp Image 2023-02-08 at 16.07.51

Rata-rata penyokong KDA FC mengandaikan jika benar pemain itu kembali ke Kedah, dia mungkin dalam perjalanan menyertai rakan sepasukan yang kini menjalani jelajah pramusim di Turkiye.

Skuad Sang Kenari dijangka akan berada di negara itu selama 10 hari untuk berdepan empat kelab bola sepak dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Super.

Cuma sekiranya telahan penyokong tersasar, perkhabaran Liridon ke JDT sebaliknya mungkin benar.

Ini kerana pemain itu sudah berada dalam senarai skuad Harimau Selatan di laman transfermarkt.com.

1910846

Nama Liridon sudah dimasukkan dalam senarai skuad JDT. — Transfermarkt

Pemain dari Kosovo itu disenarai dalam barisan pemain tengah menyerang bersama Juan Muniz, Leandro Velazquez, Endrick dos Santos dan Levy Madinda.

Skuad kendalian Esteban Solari itu baru menamatkan program pramusim mereka di Dubai, Emiriah Arab Bersatu menerusi perlawanan persahabatan dengan FC Rostov, Fursan Hispania, Lokomotiv Moscow dan Zenit St Petersburg.

Dalam perkembangan berkaitan, ada juga kemungkinan bukan Akhyar Rashid tetapi Liridon adalah pemain tempatan JDT yang sedang diintai oleh Terengganu FC sebagai pinjaman memandangkan kelab itu mahu mengisi kelompangan di posisi tengah menyerang.

Jurulatih TFC, Tomislav Steinbrukner dilaporkan berkata, pihaknya ada tiga nama dalam perancangan untuk menyelesaikan barisan depan yang masih kurang tajam.

Seperti KDA FC, skuad Sang Penyu kini menjalani aksi 'pemanas badan' selama seminggu membabitkan empat perlawanan di Thailand bermula 8 hingga 13 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram