'Patatimo Boys' dipisahkan, kemilau emas Olimpik Paris 2024 makin bersinar atau luntur?


  • Podium
  • Khamis, 09 Feb 2023

Gandingan 'Patatimo Boys' berpecah sekali gus membentuk gandingan beregu baharu buat skuad badminton negara. — Bernama

PERPISAHAN gandingan muda badminton negara iaitu Haikal Nazri dan Wan Arif Junaidi baru-baru ini nyata mengundang 1,001 kesalan buat peminat sukan badminton tanah air.

Dengan harapan tinggi yang diletakkan kepada gandingan itu sebelum ini, ia dilihat musnah sekelip mata apabila skuad negara juga turut kehilangan sepasang lagi beregu lelaki meningkat naik iaitu Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei.

Susulan perpisahan tersebut, Haikal akan bergandingan dengan Izzudin manakala Arif pula akan dipasangkan bersama Yap Roy King sebagai gadingan baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Mesra dengan gelaran 'Patatimo Boys', kedua-duanya mempunyai potensi besar untuk menggegar dunia memandangkan ranking gandingan itu telah mencatatkan peningkatan yang banyak dan pernah menduduki ranking ke-78 dunia.

Sandaran utama turut diletakkan kepada pemain itu untuk mewakili negara ke temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti.

Kini, dengan gandingan baharu yang bakal dibentuk, ia serba sedikit mengundang rasa kecewa dalam kalangan penyokong yang seperti sudah hilang keyakinan terhadap kilauan pingat emas pertama negara yang cuba dijelmakan dalam temasya itu nanti.

"Aduh baru nak layan dua pemain kidal ni, dah bagus dah mula dapat keserasian tapi sayang nak kena mula dari awal semula untuk kumpul mata layak ke Olimpik," kata Muhammad Yusafiq.

"Dengan gandingan terbaharu ni, dorang semua perlu kutip banyak mata untuk ke Olimpik, jadi BAM mesti akan hantar mereka banyak ke kejohanan antarabangsa, harap pemain kita kental dan tak mudah putus asa," ujar Nadiah Leong Abdullah.

"Sayang juga sebab Olimpik dah nak dekat dan kalau diteruskan dan diperbaiki lagi persembahan dua gandingan itu mesti boleh bawa pingat untuk negara," tambah Mohd Razali.

Dengan gandingan baharu ini nanti, segalanya akan berubah dengan pemain pihak lawan juga semestinya akan mengambil peluang terhidang untuk mengutip mata sebanyak yang mungkin bagi merebut tempat ke temasya dunia itu nanti.

Namun, masih terlalu awal untuk kita memandang rendah terhadap keputusan yang diambil oleh pengurusan BAM dengan pihak jurulatih semestinya lebih mengetahui apa yang terbaik untuk negara.

Untuk rekod, pasangan Sze Fei-Izzudin sebelum ini berada di ranking ke-46 dunia manakala gandingan 'Patatimo Boys' pula di kedudukan 103 dunia.

Diharapkan dengan gandingan baharu ini, pemain negara akan terus maju ke hadapan dan memberikan tumpuan penuh dalam kejohanan yang bakal diwakili nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram