Antara wajib dan sunat, mufti dan doktor sependapat tambah baik fatwa elak keraguan isu khitan wanita Islam


  • Massa
  • Selasa, 07 Feb 2023

Hukum fatwa bagi khitan perempuan adalah wajib untuk umat Islam. — Agensi

ISU khitan dalam kalangan kaum hawa yang kebiasannya dilakukan terhadap bayi dan budak perempuan hangat diperkatakan di laman media, malahan ada mempersoalkan hukum serta keperluannya.

Sebelum ini, kecoh di laman media apabila seorang doktor bedah kelahiran Malaysia yang tinggal di United Kingdom (UK), Dr Amalina Che Bakri membuat kenyataan bahawa khitan untuk wanita adalah diharamkan di negara UK.

Menurutnya, berkhitan bayi perempuan dikategorikan sebagai Female Genital Mutilation (FGM) atau Female Genital Cutting (FGC) di UK.

Namun, fatwa yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) berhubung perkara itu adalah wajib.

Perkara itu secara tidak langsung mengundang pelbagai spekulasi berhubung kesahihan hukum berkhitan bagi kaum wanita dengan sesetengah pihak mula mengajukan beberapa soalan berkaitannya di laman media.

Malahan, Sisters in Islam (SIS) menggesa kerajaan menyemak fatwa pada 2009 mengenai berkhatan bagi perempuan.

Susulan itu, Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd. Noor membidas kenyataan pertubuhan bukan kerajaan berkenaan kerana didakwa cuba mencipta isu mengenai fatwa berkhatan bagi wanita Islam di negara ini.

Menurutnya, perkara itu sengaja diperbesarkan oleh pihak berkenaan walhal ia bukan satu isu yang besar.

“Apa yang SIS heboh-heboh itu bukan masalah pun, itu dipanggil ‘theodo problem’ yakni masalah yang sengaja diada-adakan,” katanya dalam satu kenyataan.

al

Mengulas lanjut soal hukum fatwa, beliau berpendapat ia perlu ditambah baik bagi mengelakkan salah faham antara masyarakat Islam.

"Saya menyarankan agar fatwa itu ditambah baik dengan menyatakan golongan yang wajib adalah kaum lelaki manakala sunat dan digalakkan bagi wanita Islam.

"Menurut ajaran Islam, khitan termasuk salah satu daripada lima sunat fitrah yang digalakkan selari dengan kejadian semula jadi manusia.

"Sunat-sunat itu ialah mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan khitan.

"Majoriti fuqhak berpandangan bahawa hukum khitan adalah wajib ke atas lelaki dan sunat bagi wanita," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Dr. Atiqah Shazwani Ahad menjelaskan, isu khitan kaum wanita tidak memberikan sebarang kesan buruk sekiranya ia dilakukan.

"Kalau dari sudut agama, ia memang digalakkan namun jika tidak dilakukan, tiada sebarang kesan buruk yang terjadi kepada individu berkenaan.

"Tujuannya hanyalah untuk kebersihan dan tidak mendatangkan sebarang kesan sakit ataupun penyakit untuk jangka masa panjang sekiranya ia dilaksanakan.

"Berbalik kepada soal agama, mesti ada faktor tertentu ia diwajibkan tapi kalau misal kata menyebabkan terlampau banyak keraguan, harap ia boleh dikaji semula oleh pihak berwajib," ujarnya pada Majoriti.

Tambah Dr Atiqah yang juga merupakan Ketua Unit Sukarelawan MyHeart Association, khitan wanita tidak akan meninggalkan sebarang kesan buruk seperti mandul, gangguan sistem peranakan dan sebagainya kerana ia lebih kepada penjagaan kebersihan.

"Kalau buat lebih baik, tetapi ia tidak bermakna seseorang itu tidak akan dijangkiti kuman, ia bergantung kepada tahap kebersihan yang diamalkan oleh individu.

"Setakat ini masih belum ada sebarang kes yang boleh dijadikan contoh sekiranya perempuan berkhitan," jelasnya.

Justeru, pendapat yang diterima dari dua pihak berkenaan bersetuju agar fatwa hukum yang ditetapkan ketika ini perlu dikaji semula agar isu berkenaan tidak mendatangkan keraguan kepada masyarakat Islam di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram