Hospital kerajaan dicop 'mengecewakan', rakyat mahu 5 perubahan drastik


  • Massa
  • Selasa, 07 Feb 2023

Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor antara hospital yang pernah terpalit dengan isu kekurangan katil semasa wabak Covid-19. — The Star

ISU dan persepsi negatif terhadap hospital kerajaan bukan satu perkara baharu dan ia berlarutan hingga ke hari ini.

Meskipun pelbagai kemudahan yang ditawarkan buat pesakit dan kakitangan kerajaan, ia masih gagal memenuhi keperluan pihak yang masih kurang berpuas hati dengan layanan diterima.

Ada berpendapat, ia sejajar kos rendah yang dikenakan kepada pesakit dengan rawatan dan ubat-ubatan yang diberikan jauh lebih berpatutan daripada pusat kesihatan swasta.

Namun, bagi pihak pesakit pula, servis disediakan haruslah bersesuaian dengan situasi kerana rata-rata mereka yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Terdahulu, Hospital Serdang, Selangor dikejutkan dengan berita kematian seorang pesakit yang dikatakan terpaksa menunggu selama 17 jam sebelum diberikan katil dan menerima rawatan.

Situasi itu memberi gambaran bahawa hospital kerajaan ketika ini masih kekurangan dari segi fasiliti dan keperluan pesakit.

Berikut merupakan lima lagi isu yang kerap dibangkitkan oleh warganet di laman media sosial kebelakangan ini.

1. Ruang parkir pelawat

Ruang parkir yang terhad merupakan antara isu utama yang disuarakan oleh rata-rata anggota masyarakat khususnya dalam kalangan pelawat di hospital.

Hospital yang menempatkan ribuan pesakit semestinya akan mengundang lebih ramai pelawat dalam kalangan keluarga mahupun kenalan.

Namun, kawasan parkir yang terlampau jauh dan terhad dikatakan menjadi punca pemandu terjebak dengan kesesakan lalu lintas dalam kawasan hospital.

Ia sekali gus menyebabkan pergerakan keluar masuk ambulans juga akan terlewat sekiranya terlibat dalam kemalangan yang mungkin boleh mengundang padah pada si pesakit.

2. Kaunter khas warga emas

Sebuah kaunter khas buat warga emas sepatutnya diwujudkan di setiap hospital bagi memberikan keistimewaan pada golongan tertentu.

Warga emas sepatutnya diberikan kemudahan seperti kaunter dan ruang menunggu yang khusus kerana kebanyakan mereka sudah tidak berdaya menunggu masa lama seperti pesakit-pesakit lain.

Tidak dinafikan bahawa bantuan kerusi roda sememangnya disediakan di setiap hospital kerajaan namun sebuah bilik dan ruang menunggu khas juga amat diperlukan bagi golongan terbabit agar rawatan mereka dapat disegerakan.

3. Katil pesakit

Wabak Covid-19 merupakan antara detik getir yang terpaksa dilalui oleh semua kakitangan hospital kerajaan dengan jumlah pesakit yang terlampau ramai, membuatkan bilangan katil pesakit juga tidak mencukupi.

Selang beberapa tahun, penularan wabak itu kian pudar namun isu bilangan katil pesakit masih lagi berlarutan hingga ke hari ini.

Jumlah pesakit yang terlampau ramai di sesebuah hospital membuatkan rata-ratanya terpaksa menanti dalam keadaan kesihatan tidak menentu di pekarangan kaunter menunggu.

Justeru, penambahan katil pesakit amatlah ditagih oleh masyarakat dengan perkara itu dianggap sebagai keperluan asas yang perlu disediakan oleh pihak hospital.

4. Pengurusan masa

Kebiasaannya, pesakit yang menjalani ujian pemeriksaan kesihatan secara bulanan akan terlebih dahulu diberikan surat temu janji bagi mengelak dari sebarang kelewatan dan sebagainya.

Namun, perkara itu nyata hanyalah satu janji manis yang diberikan kepada pesakit kerana mereka masih perlu menunggu untuk sekian lama sebelum nama mereka dipanggil oleh jururawat.

Ditambah pula dengan pesakit yang hadir secara 'walk-in', bilangan terlampau ramai mengakibatkan suasana menunggu menjadi sesak dan pesakit lewat menerima rawatan.

5. Tambah pusat kesihatan di kawasan hulu kampung

Kawasan perkampungan masih lagi kekurangan bantuan dari segi bilangan pusat rawatan dan kesihatan yang ditempatkan jauh di tengah bandar.

Perkara itu boleh digambarkan menerusi kejadian yang berlaku di kawasan pedalaman Sabah apabila pesakit di sana kurang menerima rawatan akibat lokasi perumahan yang terlampau jauh dari hospital.

Lebih memilukan, jarak antara hospital dan kawasan perkuburan juga agak jauh dengan proses pengebumian jenazah juga sukar dijalankan.

Pada Ogos tahun lalu, seorang bapa berkongsi kisah sedihnya apabila terpaksa mengusung jenazah anaknya selama sejam untuk tiba di lokasi pengebumian di Kampung Samparita Tengah, Kota Marudu, Sabah kerana jarak yang terlampau jauh mengakibatkan van jenazah tidak dapat melalui kawasan sempit.

Justeru, pihak kerajaan digesa untuk mengambil lima isu di atas sebagai penambahbaikan di masa akan datang dengan hospital kerajaan sepatutnya diperuntukkan dengan bajet bagi menyediakan lebih banyak fasiliti serta kemudahan untuk rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram