Masih gagal menyerlah, 3 pemain perlu guna aksi NSFC-Perak bukti kemampuan diri


  • Podium
  • Rabu, 08 Feb 2023

Aksi antara skuad TBG (kiri) dan Negeri Sembilan FC bakal menarik tumpuan penyokong bola sepak tempatan.

KEKALAHAN Perak FC di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam saingan Piala Menteri Wilayah Persekutuan menunjukkan masih terdapat aspek yang perlu diperbaiki.

Meskipun sudah berbelanja sepanjang jendela perpindahan, ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim dilihat masih gagal untuk menerap falsafah bola sepaknya dalam pasukan berkenaan.

Bagi sesetengah penyokong, keputusan itu tidak boleh menjadi kayu ukur buat kemampuan pasukan dengan ia hanyalah satu aksi pemanas badan.

Tetapi, sepanjang tempoh pramusim, skuad The Bos Gaurus (TBG) masih belum membuktikan kebolehan di atas padang meskipun ada mencatatkan kemenangan.

Jadi, dengan tirai Liga Super akan dibuka tidak lama lagi, pasukan tersebut masih mempunyai masa untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang masih timbul.

Selepas ini, mereka akan bertemu sebuah lagi pasukan yang turut mencatatkan prestasi terumbang-ambing sepanjang tempoh pramusim, Negeri Sembilan FC.

Skuad Jang juga dilihat sering diberi tekanan oleh penyokong sendiri selepas tidak menurunkan sebarang pemain import dalam perlawanan pemanas badan kebelakangan ini.

Tambahan pula, terdapat juga persoalan yang timbul mengenai kemampuan mereka untuk mengulangi pencapaian musim lepas apabila kehilangan tonggak pasukan.

Jadi, dengan pertembungan itu bakal berlangsung pada 8 Februari di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, ia merupakan peluang terakhir buat kedua-dua pasukan bagi membuktikan kemampuan masing-masing.

Berikut merupakan tiga pemain yang dijangka mengambil kesempatan tersebut, sekali gus membantu skuad masing-masing mendapatkan rentak tersendiri.

1. Hadi Fayyadh (Perak FC)

Kehadiran bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Hadi Fayyadh Abdul Razak ke dalam skuad TBG menyuntik semangat berbeza buat moral pemain dan penyokong.

Manakan tidak, pengalamannya beraksi di liga Jepun buat beberapa tahun diharap membawa dimensi berbeza buat jentera serangan pasukan.

Tetapi, ketika diturunkan berdepan skuad Warga Kota, pemain berusia 23 tahun itu gagal memberi sebarang impak sehingga menyebabkan ramai pihak mengkritik kemampuannya.

328873885_563156852388807_1546079538082492598_n

Hadi diberi tekanan selepas satu aksi menghampakan. Facebook/Negeri Sembilan FC

Aksi tidak bermaya dan kegagalan dalam melakukan hantaran mudah menjadi sebab untuk sebahagian pihak mendesaknya untuk menambah baik gaya permainan.

Jadi, dengan aksi menentang skuad Jang tidak lama lagi, Hadi mempunyai masa untuk turun berlatih dan membentuk keserasian bersama rakan sepasukan.

Bagaimanapun, perlu diingati bahawa pemain tinggi lampai itu masih belum mendapatkan rentak terbaik sejak menyertai skuad Seladang.

2. Zaquan Adha (Negeri Sembilan FC)

Dalam beberapa aksi persahabatan kebelakangan ini, Negeri Sembilan FC gagal untuk beraksi dengan berkesan, lebih-lebih lagi di posisi serangan.

Ketumpulan tersebut dikatakan berpunca daripada kehilangan duo penyerang kelahiran Brazil, Gustavo dan Matheus Alves yang tidak disambung kontraknya.

Bagi menggalas tanggungjawab itu, barisan kejurulatihan skuad Jang memilih untuk menurunkan bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha Abd Razak.

326020632_1351062602101322_5886835501420752981_n

Zaquan (kiri) masih belum mendapatkan gol dalam aksi pramusim. Facebook/Negeri Sembilan FC

Tetapi, dia masih tidak dapat mencetuskan inspirasi seperti mana yang diharapkan apabila gagal untuk menjaringkan gol ketika aksi pramusim itu.

Namun, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menunding jari terhadap pemain berkenaan apabila dia jarang menerima hantaran baik daripada rakan sepasukan.

Oleh itu, pertemuan bersama Perak FC merupakan medan terbaik Zaquan sekiranya dia bercita-cita untuk mendapatkan semula sentuhannya di hadapan pintu gol lawan.

3. Bryan See (Perak FC)

Bekas penjaga gol Melaka United, Bryan See Tian Keat merupakan antara rekrut Perak FC yang juga memberi penekanan untuk memperkukuhkan lagi benteng pertahanan.

Meskipun rekodnya bersama skuad Hang Tuah tidaklah begitu cemerlang, gaya dan cara permainannya dilihat bersesuaian dengan coach LTK.

321415578_585861602903727_3837077099907159178_n

Bryan See masih belum memberi sumbangan terbaik dalam jersi Perak FC. Facebook/Perak FC

Tetapi, selepas beberapa kali diturunkan, dia masih tidak dapat membuktikan nilainya apabila sukar membaca percubaan daripada pihak lawan.

Jadi, dengan skuad Jang turut berdepan masalah di posisi serangan, pertembungan itu merupakan satu peluang kepadanya untuk mendapatkan semula keyakinan.

Tetapi, pemain berusia 29 tahun itu masih perlu berusaha bersungguh-sungguh dan tidak boleh terlalu yakin sehingga memakan dirinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram