PENYERANG baharu Perak FC, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak mengakui tidak berpuas hati dengan persembahannya ketika perlawanan yang menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) tewas 0-3 di tangan skuad Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perebutan Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.
Selepas perlawanan berkenaan, pemain berusia 23 tahun itu menyedari bahawa banyak perkara yang perlu diperbaiki dan antaranya ialah menajamkan perlu menajamkan penyudah jentera serangan.
Malah, anak jati Perak itu juga berharap agar semua kelemahan yang ada itu dapat diperbaiki sebelum skuad Seladang berjumpa Kedah Darul Aman (KDA FC) bagi aksi pembuka saingan Liga Super 2023.
"Saya bersyukur dapat bermain hari ini tapi saya tak puas hati. Saya rasa saya boleh buat lebih baik, masa banyak perlu diperbaiki. Dengan masa yang ada, masih banyak perlu diperbaiki sebelum lawan Kedah nanti.
"Apa yang kami dah beri dah okay cuma rezeki tidak berpihak kepada kita. Saya harap kita akan membaiki penyudah," katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Kuala Lumpur.
Hadi Fayyadh percaya dengan kemampuan barisan kejurulatihan dan pemain, Perak mampu menjadi pencabar Liga M. — Facebook/PerakFC
Hadi Fayyadh juga berpendapat mempunyai keserasian dengan tonggak import, Christian Obiozor dan mempercayai persefahaman mereka akan bertambah baik selepas sesi latihan yang banyak.
Bekas pemain kelab Jepun, Azul Claro Numazu itu juga percaya bahawa dengan usaha dari barisan kejurulatihan dan pemain pasti akan mampu untuk menjadi pencabar dalam liga.
Dalam pada itu, Hadi Fayyadh juga berikrar akan menjadi seorang pemain yang lebih baik selepas ini dan cuba mendapatkan kemenangan untuk penyokong The Bos Gaurus.
Hadi Fayyadh juga sempat mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Perak yang sanggup hadir ke Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada mereka.
"Mungkin hari ini kita kalah, tapi tak semestinya hari lain kita akan kalah. Saya dan pemain lain akan lakukan terbaik untuk menampilkan persembahan yang baik dan jadi pencabar dalam liga.
"Saya nak ucap terima kasih kepada penyokong yang datang. Unbelievable. saya janji kepada diri saya akan jadi lebih baik dan kemenangan akan datang," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram