Perak FC pantas respons, sedia ganti jersi rosak penyokong TBG


  • Podium
  • Isnin, 06 Feb 2023

Pada musim ini, Perak FC menampilkan sebanyak enam jenis warna pada jersi Perak kali ini. — Facebook/PerakFC

BELUM sampai dua minggu lagi Perak FC melancarkan jersi rasmi skuad The Bos Gaurus (TBG) untuk musim 2023 namun kini sudah ada aduan yang diluah oleh penyokong pasukan berkenaan mengenai kualiti pakaian tersebut.

Seorang penyokong Perak yang menggunakan nama pengguna Facebook, Nur Arash menceritakan pengalamannya membeli jersi baharu skuad TBG di sebuah gerai jualan berdekatan dengan Stadium Cheras, Kuala Lumpur.

Penyokong yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) itu memberitahu bahawa sewaktu dia ingin menggunakannya untuk menyaksikan perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan antara Perak FC dengan Kuala Lumpur (KL) City FC, dia mendapati terdapat kerosakan pada logo di jersi berkenaan.

"Semalam hari Sabtu 4 Februari beli jersi di kedai pasar lori XOX punya yang di Stadium Cheras. Bila nak buka jersi, logo tiba-tiba rosak. Kita tidak tahu tukar cara macam mana. Saya orang pekak OKU," tulisnya di laman penyokong TBG, Perak FC Fans.

WhatsApp Image 2023-02-06 at 14.58.18

Tangkap layar luahan penyokong tersebut.

Rentetan daripada luahan penyokong itu, peminat Perak yang lain mencadangkan agar lelaki berkenaan membuat laporan kepada pihak pengurusan untuk menggantikannya.

Tidak menunggu lama untuk memberi respons mengenai isu berkenaan, wakil Perak FC menegaskan bahawa kelab tersebut tidak memandang mudah perkara tersebut dan akan menggantikannya.

Malah, wakil Perak FC itu juga memberitahu bahawa pasti ada baju yang datang dari kilang akan mengalami kerosakan namun pihak pengurusan pasti akan cuba sehabis baik untuk memuaskan hati pelanggan.

"Sesiapa yang ada masalah boleh hubungi terus Perak FC atau ke pejabat Perak FC. Atau minta pengadu itu beritahu kepada admin Perak Football Club atau email. Jadi kita boleh ganti rugi dan cek perkara itu. Memang tiada masalah, janji dia (pengadu) beli dengan kita.

"Setiap baju dari kilang mesti akan ada yang rosak. Bukan 100 peratus cantik. Kalau ada rosak, akan ada return policy. Jika beli dari kedai lori iaitu XOX BLACK Market, hanya hantar balik kerana pihak itu akan minta kepada kami juga, " kata wakil pihak dari Perak FC itu kepada Majoriti.

Wakil kelab itu juga berpesan bahawa penyokong yang mengalami isu seperti pengadu tersebut perlulah membuat adian di saluran yang betul.

"Yang penting ada bukti pembelian, jadi kita boleh bantu. Tiada masalah bantu sangat. Pergi ke saluran yang betul," ujarnya.

Reka bentuk jersi “home” dan kit ketiga Perak FC 2023 mengambil inspirasi daripada 12 daerah di Perak dan ia melambangkan perpaduan, keterangkuman dan kebanggaan rakyat Perak.

Warna kuning dipilih untuk jersi “home” untuk pasukan Perak FC dan pemilihan warna tersebut bukan hanya kerana ia ada pada bendera negeri, ia juga melambangkan kesetiaan kepada negeri dan institusi dirajanya.

Malah, setiap jersi Perak FC turut dilengkapi oleh ‘QR Code’ yang membantu pembeli mendaftarkan nama sebagai pemilik rasmi kit berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram